Periksa Rekod Pusat Jagaan Orang Tua
KUCHING, 22 Jan: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Bandar Kuching tidak akan bekerjasama dan menyalurkan bantuan kewangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan penjagaan warga tua yang ada rekod lampau memukul warga terbabit.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata demikian walaupun pihaknya akan memfokuskan mengadakan lebih banyak program berkaitan warga tua di bandar raya ini sepanjang tahun ini termasuk yang dijaga NGO terbabit.
"Saya juga melihat kepada rekod lampau dan sejarah (NGO kebajikan menjaga warga tua), kerana ada beberapa NGO, kita mendapat berita mereka pukul orang tua semua itu, kita tidak mahulah bekerjasama NGO dengan rekod lampau tidak baik ini,"katanya selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangannya sempena Tahun Baharu Cina kepada 35 penghuni warga tua di Hun Nam Siang Tng, di Sekama, di sini, hari ini.
Dr Kelvin berkata pihaknya akan bekerjasama dengan NGO terbabit yang ada rekod menjaga warga tua dengan baik sahaja dan salah satunya ialah Hun Nam Siang Tng yang sudah beroperasi 63 tahun di bandar raya ini.
"Untuk Hun Nam Siang Tng sebagai permulaan saya memberikan mereka peruntukan sebanyak RM10,000. Ini tidak termasuk jamuan makan meraikan Tahun Baharu Cina bagi penghuninya hari ini yang dibawah perbelanjaan saya,"katanya.
Beliau berkata ini kerana perayaan Tahun Baharu Cina bukan sahaja memfokuskan kepada keluarga dan orang disayangi tetapi juga kepada golongan kurang bernasib baik termasuk warga tua yang dijaga NGO kebajikan.
Selain itu, katanya statistik menunjukkan tahun lepas, sebanyak 10.3 peratus rakyat negara ini berusia 60 tahun keatas manakala lapan peratus berusia 65 tahun keatas dan dijangkakan menjelang 2030 peratusan meningkat kepada 15.3 peratus.
tamat
keterangan gambar;
1. Dr Kelvin Yii (tengah) menyampaikan ang pow kepada penghuni Hun Nam Siang Tng ketika menghadiri majlis penyampaian sumbangannya Tahun Baharu Cina kepada penghuni warga tua pertubuhan itu, di Sekama, di sini, hari ini.