Tiga lagi kes jangkitan 2019 koronavirus import disahkan di Singapura
SINGAPURA, 30 Jan -- Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan tambahan tiga kes import jangkitan 2019 novel koronavirus, menjadikan jumlahnya di sini sudah menjangkau 13 kes.
Dalam pengumuman maklumat terkininya, kementerian itu berkata ketika ini tiada bukti jangkitan berkenaan merebak dalam kalangan komuniti di Singapura.
MOH mengesahkan bahawa ketiga-tiga mereka adalah warga China dari Wuhan, dan ketika ini mereka sedang dirawat di bilik isolasi di National Centre for Infectious Diseases (NCID) di sini.
Kes kesebelas jangkitan itu melibatkan seorang wanita berumur 31 tahun yang tiba di Singapura pada 22 Jan, menemani individu yang disahkan menjadi kes keempat jangkitan koronavirus di Singapura.
Semasa penerbangan ke Singapura, wanita itu tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan.
“Wanita itu mula menunjukkan simptom jangkitan pada 27 Jan, dan keputusan ujian mengesahkan ia jangkitan koronavirus kira-kira pukul 11 malam pada 29 Jan,” menurut kementerian itu.
Sementara itu kes ke-12 pula melibatkan seorang wanita berumur 37 tahun yang tiba di Singapura bersama dengan keluarganya pada 22 Jun dan mula menunjukkan simptom jangkitan, empat hari kemudian.
Sebelum dimasukkan ke hospital, wanita berkenaan menginap di Village Hotel Sentosa (10 Artillery Avenue), Hotel 81 Princess (21 Lorong 12 Geylang) dan Home Suite View Hotel (12 Lorong 12 Geylang).
"Wanita itu memberitahu dia telah melawat Orchard Road serta Geylang, dan menggunakan perkhidmatan teksi untuk melakukan perjalanan,” menurutnya lagi.
Kes ke-13 pula melibatkan seorang wanita berumur 73 tahun yang tiba di Singapura dari Wuhan bersama dengan keluarganya pada 21 Jan.
Wanita itu disahkan positif untuk jangkitan koronavirus kira-kira pukul 2.00 petang pada 30 Jan.
"Ketiga-tiga kes terbaharu itu berada dalam keadaan stabil ketika ini, dan kita sedang terus memantau kesihatan mereka,” menurut kementerian itu, dan menambah tiada satu pun daripada 10 kes terdahulu menampakkan tahap kesihatan yang kritikal.
Kementerian itu berkata kesemua mereka dalam keadaan stabil, dan kebanyakan daripada mereka semakin sembuh.
Sehingga tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan Singapura berkata 164 kes suspek jangkitan itu telah disahkan negatif.
-- Bernama