222 majikan kena tindakan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak


KUCHING, 5 Feb: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak berjaya mengesan seramai 222 majikan di negeri ini yang melakukan kesalahan tidak mematuhi perintah gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sepanjang 2019.

Pengarah JTK Sarawak, Awang Raduan Awang Omar berkata ini selepas pihaknya melakukan pemeriksaan berkaitan perintah gaji minimum itu ke sebanyak 6, 346 tempat pekerjaan seluruh negeri ini dari Januari hingga Disember tahun lepas.

"Notis telah dikeluarkan (JTK Sarawak) kepada mereka ( 222 majikan)  untuk melakukan tindakan pembetulan dan mengikut gaji minimum tersebut,"katanya pada sidang media Perintah Gaji Minimum 2020 di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga di sini, hari ini.
Awang Raduan antara alasan biasa diberikan 222 majikan terbabit menyebabkan mereka tidak mengikut perintah gaji minimum itu ialah pematuhannya akan melibatkan keuntungan mereka atau  perniagaan mereka di tempat terpencil dan mereka  tidak mendapat maklumat tentang perintah itu.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini sudah menghebohkan  dengan meluas  maklumat berkaitan perintah terbabit kepada majikan di negeri ini melalui laman web malahan juga melalui siaran radio dalam pelbagai bahasa tempatan.

Katanya berdasarkan rekod jabatan itu dari 2015 hingga 2019, JTK Sarawak telah membuka sebanyak 101 kertas siasatan bagi menyiasat majikan yang gagal membayar gaji minimum.

"Daripada 101 kertas siasatan tersebut, 29 kes telah dihadapkan ke mahkamah dan sebanyak 24 kes terbabit telah disabitkan kesalahan.Selain itu, sebanyak 38 kes telah ditutup kerana kes telah diselesaikan manakala 34 kes yang lain masih dalam tindakan penyiasatan,"katanya.

Manakala jumlah keseluruhan denda yang dikenakan terhadap majikan yang  mematuhi gaji minimum bagi tempoh itu adalah sebanyak RM194,203.57.

Awang Raduan berkata selepas ini pihaknya akan mula melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2020 dibawah seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732)  yang sudah berkuatkuasa Febuari ini.

Perintah Gaji Minimum 2020 menetapkan gaji minimum bulanan pekerja sebanyak RM1,200 di kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran serta gaji minima bulanan RM1,100 sebulan bagi kawasan lain.

"Kawasan majlis bandaraya di Sarawak ialah (Dewan Bandaraya) Kuching Utara  dan (Majlis Bandaraya) Kuching Selatan dan Majlis Bandaraya Miri, manakala kawasan Majlis Perbandaran ialah Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan Bintulu,"katanya.

Beliau berkata majikan yang tidak membayar gaji pokok pekerja seperti ditetapkan Perintah Gaji Minimum 2020 adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja.

Pihaknya sehubungan itu mengalukan pekerja swasta di negeri ini termasuk yang bekerja sambilan untuk melaporkan majikan mereka yang enggan mematuhi perintah terbabit ke pejabat JTK Sarawak terdekat.
Tamat

keterangan gambar:

1.Awang Raduan Awang Omar ( tiga dari kiri) bersama pegawai JTK Sarawak ketika sidang media  Perintah Gaji Minimum 2020 di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga di sini, hari ini.

2.Awang Raduan Awang Omar  ketika sidang media  Perintah Gaji Minimum 2020 di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel