Mekanik dipenjara empat tahun, satu sebatan, rompak dan menyamar polis
KUALA LUMPUR, 4 Feb -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan terhadap seorang mekanik yang didapati bersalah merompak seorang pelajar sekolah menengah sehingga cedera dan menyamar sebagai anggota polis.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Shalihuddin Muhammad, 34, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah pada tarikh jatuh hukum, hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan manakala penjara satu tahun untuk pertuduhan kedua dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 27 Okt 2019.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, telah merompak dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di hadapan Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Salak South, Cheras di sini, pada 3 petang, 17 Sept 2019.
Dia dituduh mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Mohd Shalihuddin juga didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, telah menyamar sebagai anggota polis dan dalam penyamaran tersebut tertuduh telah mengambil dompet dan telefon bimbit milik mangsa pada tempat, masa dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan kedua itu dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, dibaca dengan Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan itu berlaku di tempat awam.
“Tertuduh telah menggunakan kekerasan, sehingga mangsa mengalami kecederaan. Saya mohon hukuman berbentuk pengajaran,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Shalihuddin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga serta telah insaf.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh telah memperkenalkan dirinya sebagai polis dan mahu membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan tertuduh telah mengambil dompet serta telefon bimbit dari dalam poket seluar mangsa serta cuba mengambil kunci motosikal milik mangsa.
Mangsa enggan memberi kunci motosikal, lalu tertuduh menolak mangsa dari motosikal sehingga mangsa terjatuh dan mengalami luka ringan di bahagian lutut. Tertuduh melarikan diri tetapi berjaya ditangkap pada 27 Okt 2019.
-- Bernama