24 negatif, lapan tunggu ujian darah
KUCHING: Sebanyak 24 kes koronavirus negatif dan lapan masih menunggu ujian sampel darah di Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah tersebut kesemua 32 kes disyaki koronavirus yang dilaporkan setakat ini.
Menurutnya,lapan kes yang masih menuggu ujian sampel darah tersebut melibatkan enam kes di Kuching dan masing-masing satu kes di Bintulu dan Miri.
"Kesemua 32 kes yang disyaki melibatkan 16 kes di Kuching, lapan kes di Sibu, tiga kes di Bintulu dan lima di Miri dimana 24 kes warganegara Malaysia, tujuh kes warganegara China dan satu kes warganegara Thailand.
“Lapan kes yang masih menunggu keputusan makmal adalah dari warganegara Malaysia," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan wabak koronavirus.
Menurutnya, sebanyak 16 pelancong asing yang melawat China dalam tempoh 14 hari sebelum ke Sarawak telah dilarang masuk ke negeri ini.
Sebelum ini Kerajaan Sarawak mengeluarkan arahan warganegara China dan negara asing lain yang telah ke China dalam tempoh 14 hari sebelum ke Sarawak dilarang masuk ke negeri ini sehingga tempoh dimaklumkan kelak.
Bagaimanapun pengecualian diberi kepada mereka yang mempunyai pas kerja, pas pelajar atau pas lawatan sosial jangka panjang.
Mereka wajib menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari selepas dibenarkan masuk.
Tindakan ini diambil sebagai sebahagian daripada langkah dan usaha kerajaan negeri Sarawak untuk mengurangkan penyebaran Koronavirus Wuhan di negeri ini.
Rakyat Sarawak yang kembali dari China dalam tempoh 14 hari yang lalu juga wajib menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.
Warganegara China yang berada di Sarawak dinasihat agar melapor diri di Konsulat Jeneral Republik China mengenai tempat penginapan dan lokasi tujuan mereka di sini.