7 suspek baharu, 51 negatif dan 16 menunggu
KUCHING: Tujuh suspek pesakit baharu Novel Koronavirus dilaporkan di negeri ini hari ini.
Jumlah tersebut iaitu tiga kes di Hospital Umum Sarawak (HUS), dua di Bintulu dan masing-masing satu kes di Sibu dan Hospital Miri.
Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Mejar Ismail Mahedin berkata, kes-kes baharu termasuk pelancong dari Kanada yang tiba dari Lapangan Terbang Mulu namun telah dirujuk ke Hospital Miri selepas saringan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.
"Jumlah keseluruhan adalah 67 kes sehingga hari ini.
"Mereka terdiri daripada 49 rakyat Malaysia, 15 warga China dan seorang rakyat Thailand, seorang rakyat Indonesia dan seorang rakyat Kanada," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun katanya, sebanyak 51 kes telah diuji negatif manakala 16 kes masih menunggu keputusan ujian makmal.
Beliau memberitahu, mereka yang menunggu keputusan ujian adalah sembilan rakyat Malaysia (lapan di HUS dan satu di Hospital Sibu), lima warga China (tiga di HUS dan dua di Hospital Bintulu), satu warga Thailand (juga Hospital Bintulu) dan satu warga Kanada di Hospital Miri.
Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan berjaya membuat saringan kira-kira 5,984 ketibaan di pelbagai pintu masuk udara, laut dan darat seluruh negeri.
Jabatan Kesihatan memberi nasihat kepada mereka yang jatuh sakit (demam, batuk dan sukar bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari China untuk mendapatkan rawatan perubatan segera.
Semua doktor harus melaporkan sebarang kes yang disyaki ke Jabatan Kesihatan bahagian atau daerah yang terdekat dengan menggunakan borang pemberitahuan atau mereka boleh menghantar e-mel ke
Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis Jabatan Kesihatan di cprc_sarawak.gov.my atau dail 082 443248.