Lucutkan kewarganegaraan - PAS

KUCHING: PAS Sarawak tanpa prejudis menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan di mana badan perundangan negeri Sarawak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.

Keputusan ini harus diingat bahawa orang yang tinggal di Sarawak harus mematuhi undang-undang dan tidak bermain dengan hak kewarganegaraan mereka.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee, pihaknya menggesa agar dia Tiong Chooon dilucutkan kewarganegaraan mengikut peruntukan.

"Perkara 24. Pemecatan kewarganegaraan untuk mendapatkan atau menggunakan kewarganegaraan asing, dan sebagainya.

"Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan), maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PAS berpendapat ia satu penipuan kepada rakyat Sarawak.

Katanya, DAP jelas tidak bertanggungjawab dengan menipu rakyat di DUN Pujut terutamanya apabila menyembunyikan kerakyatan dua negara ADUN mereka.

"PAS mendesak juga kerajaan negeri untuk menilai kedudukan semua elaun dan peruntukan yang telah diambil oleh ADUN DAP ini selama tempoh penipuannya.

"PAS Sarawak juga menyeru pihak berkuasa untuk mengkaji semula mana-mana wakil rakyat di negara ini yang mempunyai dua kewarganegaraan / kerakyatan supaya mereka boleh mengambil tindakan," katanya.

Beliau berkata, semua pihak yang mempunyai maklumat tentang mana-mana wakil rakyat yang memiliki dua kewarganegaraan menyuarakan kebimbangan mereka kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.
LihatTutupKomentar
Cancel