Adakah orang politik lupa kedudukan mereka?
Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias
Ahli Parlimen negara ini yang mengamalkan demokrasi Raja Berperlembagaan perlu melihat kembali sistem berparti supaya menjadi lebih baik selaras pembinaan negara maju.
Sebenarnya apa yang rakyat perlu faham tugas tiga badan utama negara yang kesemuanya mewakili Yang di-Pertuan Agong iaitu badan legislatif, eksekutif dan kehakiman dalam menjalankan bidang tugas fungsi tertentu.
Pemisahan kuasa atau protokol tertentu dibuat agar tiada 'cross border' mencampuri urusan tertentu.
Di mana kedudukan Ahli Parlimen? Di mana fungsi ahli politik?
Kenapa mereka dilihat menjadi keutamaan sehingga menampakkan mereka itu pula lagi berkuasa daripada YDPA?
Ahli politik akan disebut Ahli Parlimen setelah memenangi kerusi Parlimen dan mereka adalah anggota kerajaan yang berkhidmat di bawah kerajaan YDPA.
Mereka tiada kuasa mengatasi pemilik dan pemerintah negara atau anologinya mengatasi 'tuan tanah'.
Bagaimanapun dalam isu kemelut hari ini, rakyat menyaksikan berlakunya percambahan idea dan buah fikiran yang baik oleh wakil rakyat, Ahli Parlimen daripada parti pembangkang akan terus ditolak bulat-bulat oleh parti pemerintah.
Sebaliknya seandainya ada idea bodoh dan kurang masak jika ia datang daripada parti majoriti, dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada parti, idea itu tetap akan dilaksanakan.
Contohnya penguatkuasaan larangan merokok yang tergesa-gesa dibuat dan apabila di tegur tiba-tiba keluar pula kenyataan warta pelaksanaan akan dibuat selepas setahun, jadi keputusan awal untuk mengeluarkan saman ditangguhkan.
Kita boleh lihat amalan pada hari ini, parti pemerintah akan melantik ketua whip di Parlimen yang akan menentang semua cadangan dan idea dari pihak parti lain.
Walaupun idea berkenaan baik dan bagus, ia tetap akan di pangkah dan buang.
Ahli parti politik pula diminta mengundi mengikut arahan ketua whip mereka dalam Parlimen Malaysia.
Sejarah membuktikan bekas exco DAP, Tan Sri Lee Lam Thye sepanjang berada di kerusi Ahli Parlimen ketika itu memberikan idea bernas dan berbahas dalam Bahasa Melayu dengan baik dan teratur.
Kerana cadangan yang baik itu, beliau mendapat penghormatan daripada parti lawan iaitu BN .
Bagaimanapun disebabkan Lam Thye tidak menyokong perkara yang bersifat kepentingan parti sahaja dan tidak adil yang diutarakan DAP, dia terus dilihat ancaman parti itu sehingga menimbulkan polemik dalaman parti.
Akhirnya beliau keluar daripada DAP kerana mahu meneruskan perjuangan mendukung rakyat Malaysia ke arah yang lebih baik tanpa mengira ras kaum dan politik.
Hasil ketinggian prinsip itu beliau telah mendapat perhatian pihak parti lawan BN ketika itu untuk melantik beliau ke NIOSH bagi meningkatkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Beliau adalah contoh jelas, seorang Ahli Parlimen yang lengkap berilmu, berpegang pada prinsip kemanusiaan, patriotik serta menjaga negara mengikut kemampuan dan perkara ini tegas dipegang walaupun dia menerima tekanan pelbagai sudut.
Bagaimanapun tahun lalu, desas desus mengatakan beliau diminta bersara awal daripada NIOSH setelah pertukaran kerajaan dan kini kedudukannya diganti oleh pro DAP.
Inilah kesannya apabila parti politik diutamakan daripada kehendak rakyat.
Kini keperluan mencari dan memilih Ahli Parlimen yang ikhlas, berwibawa, berilmu dan berani dalam menjaga kepentingan negara adalah amat kritikal.
Dengan pelbagai ancaman luar dan dalam yang amat berbeza, yang tidak pernah wujud pada tahun sebelumnya.
Ancaman wabak penyakit, peperangan perdagangan antarabangsa, penguatkuasaan Statut Rom, kenaikan kos sara hidup, kekurangan peluang pekerjaan dan pelbagai lagi.
Negara memerlukan gabungan ahli pemikir bagi merangka polisi dan mereka ni seharusnya datang dari seluruh 222 Ahli Parlimen yang tentunya menerima gaji dan elaun hasil wang rakyat.
Kerajaan Perpaduan mahu menghapuskan sistem whip untuk memberi peluang idea yang bagus demi rakyat dan mengiktiraf pihak pencadang tanpa melihat mana-mana parti yang diwakilinya.
Akta Tubuh Parlimen itu sendiri perlu diperkemaskan merangkumi aturan perjalanan mesyuarat di dalam Parlimen.
Keterbukaan perkara yang dibincangkan dan yang paling penting semua wakil rakyat mestilah membincangkan segala usul hal berkaitan rakyat sahaja tanpa boleh membuat apa-apa polisi peraturan perundangan negara.