Angin kencang 60 kilometer sejam dengan ombak capai 4.5 meter, bahaya di laut


KUCHING : Semua pihak yang terlibat dalam aktiviti perkapalan dan pantai di negeri ini  dinasihatkan agar berhati-hati ekoran amaran berlakunya angin kencang dan laut bergelora tahap kedua akibat tiupan angin timur laut di perairan Sarawak sehingga 24 Februari ini.

Keadaan itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti di laut termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu turut dijangka melanda di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sabah Barat.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dari timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka melanda di kawasan perairan Sabah Timur pada masa yang sama.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Amaran ribut petir,  hujan lebat dan angin kencang  juga dijangka melanda di kawasan perairan Pahang,  Sarawak Barat dan Sabah Timur sehingga esok.

Angin kencang timur laut melebihi 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Condore, utara Bunguran, Reef North  dan Layang-Layang sehingga  24 Februari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Pada masa sama, angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka membadai di kawasan perairan selatan Samui,  Tioman, selatan Bunguran, Reef South, Palawan dan Labuan.

Turut berdepan dengan bahaya tiupan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter ialah kawasan perairan utara Samui  dan Sulu.


LihatTutupKomentar
Cancel