Ashraf Sinclair selamat disemadikan


Bunga Cinta Lestari tidak mampu bersuara terima ucapan takziah atas pemergian suami tercinta 

Allayharham Ashraf Sinclair selamat dikebumikan San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat.


TEMPOH 11 tahun melayari bahtera rumahtangga yang bahagia, pastinya meninggalkan kesan cukup mendalam jika tiba-tiba kehilangan pasangan dicintai dalam sekelip mata.

Apatah lagi jika tiada langsung tanda-tanda pasangan anda itu sakit sebelum ini dan tiba-tiba dia meninggalkan anda selama-lamanya menghadap Ilahi.

Justeru, amat faham perasaan dirasai oleh artis terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) apabila dilihat hilang kata-kata setelah kehilangan suaminya, Ashraf Sinclair akibat serangan jantung pada jam 4.15 pagi Selasa.

Keadaan Bunga dan anaknya, Noah Aidan Sinclair, 10 tahun yang sedang bersedih ini boleh dilihat dalam video yang dikongsi di laman sosial pemilik akaun Instagram lambe-turah.

Berpakaian serba putih, Bunga dilihat kehilangan kata-kata dan hanya mampu mengangguk kepala mendengar kata-kata semangat dititipkan kepadanya oleh tetamu yang hadir memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham Ashraf.

Menyedari keadaan Bunga ketika ini, pihak pengurusan artis itu memohon kerjasama daripada pihak media untuk tidak mengganggu privasinya.

Pemergian Ashraf mengejutkan para peminatnya di Indonesia dan Malaysia kerana Allahyarham menghembus nafas terakhir pada usia dianggap muda iaitu 40 tahun.

Sementara itu, portal Kompas melaporkan jenazah Allahyarham Ashraf sudah selamat dikebumikan selepas solat Asar di San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat.

Jenazah pelakon ini dibawa keluar dari rumahnya di  Pejaten, Jakarta Selatan sekitar pukul 2 petang waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).

Allahyarham Ashraf dilahirkan di London, pada 18 September 1979. Kerjaya seninya di Malaysia bermula dengan berlakon iklan dan seterusnya bidang pengacaraan.

Ashraf mula dikenali apabila terjun ke bidang lakonan, dengan filem Gol dan Gincu (2005) menjadi antara filem lakonannya yang paling popular.

Adik kepada pelakon dan penyampai radio, Aishah Sinclair ini menikah dengan Bunga pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta.


LihatTutupKomentar
Cancel