Dibelasah, dituduh curi motosikal
KUCHING:Dituduh mencuri sebuah motosikal, seorang lelaki cedera dibelasah tiga lelaki di belakang kedai pizza di MJC Batu Kawa, di sini.
Dalam kejadian jam 10.10 malam Sabtu lalu,lelaki berusia 28 tahun berasal dari Kampung Paloh, Kabong,cedera di bahagian kepala dan lebam di peha sebelah kiri akibat dipukul menggunakan rotan.
Ketua Polis Padawan, Superintendan Aidil Bolhasan berkata, kejadian itu dilapor oleh orang awam yang melihat suspek dipukul.
"Sebaik menerima laporan anggota
IPD Padawan telah ke lokasi dan mendapati terdapat seorang lelaki telah mengalami kecederaan di kepala.
"Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak(HUS) oleh ambulans JPAM untuk dapatkan rawatan,"katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa memberitahu dia tidak kenal siapa yang memukul dan tidak tahu punca dia dipukul.
"Saksi melihat dari jauh tiga orang lelaki yang dipercayai berbangsa Iban (berdasarkan pertuturan) yang tidak dikenali sedang memukul mangsa menggunakan rotan.
"Melihat kehadiran saksi, suspek terus melarikan diri dan ada memberitahu bahawa mangsa mencuri motosikal,"ujarnya.
Katanya, tiada sebarang laporan polis mengenai kecurian motosikal berkait kejadian pukul itu dibuat oleh mana-mana pihak buat masa ini.
"Usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mengesan saspek yang terlibat sedang dijalankan," tegasnya.