FAMA mahu buat daftar Orang Tengah
KUCHING, 7 Feb: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memulakan "Daftar Pemasar" iaitu proses mendaftarkan semua orang tengah sektor pertanian di seluruh negara termasuk di Sarawak pada pertengahan tahun ini.
Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata demikian dengan kakitangan lembaga terbabit di seluruh negara dicadangkan bersiap sedia memulakan pendaftaran terbabit April depan.
"Kita akan memulakannya (Daftar Pemasar) di seluruh negara. Kita cadangkan April kita sudah (bersiap sedia) on the ground dan pertengahan tahun ini kita sudah mula,"katanya ketika merasmikan Program Jualan My Best Buy anjuran FAMA sempena perlumbaan basikal Le Tour De Langkawi (LTDL) 2020 di Padang Merdeka, di sini, malam tadi.
Daftar Pemasar terbabit akan mengatasi isu penindasan orang tengah dan juga membolehkan FAMA mengenalpasti siapa orang tengah terbabit, komoditi yang mereka dagangkan dan juga lokasi mereka.
Ishak berkata dengan adanya maklumat tentang orang tengah di seluruh negara, FAMA juga akan dapat berhubung cepat dan mudah dengan mereka dan seterusnya membantu kerajaan merancang pembangunan pertanian negara ini dengan lebih baik.
"Kita akan memulakan pendaftaran terbabit dari ladang iaitu ( peringkat) pengeluaran, keduanya kita daftarkan mereka (orang tengah) yang membeli hasil-hasil dari ladang ini,"katanya.
Katanya proses pendaftaran selepas itu merangkumi orang tengah di setiap rantaian nilai pemasaran produk pertanian sehinggalah sampai kepada pembeli produk hiliran pertanian.
tamat
keterangan gambar:
1. Ishak Ismail (kiri) bergambar dengan pengayuh basikal yang menyertai acara berbasikal sempena pelancaran Program Jualan My Best Buy anjuran FAMA sempena perlumbaan basikal Le Tour De Langkawi (LTDL) 2020 di Padang Merdeka, di sini, malam tadi.