GPS akur apa jua keputusan Agong
MIRI: Kerajaan GPS akan mematuhi sebarang keputusan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan masalah kemelut politik yang melanda negara.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan memberi jaminan kepada rakyat Sarawak bahawa apa-apa keputusan yang diambil oleh Kerajaan GPS akan menjadi kepentingan negara tanpa mengorbankan hak dan kepentingan Sarawak.
Menurutnya, kebimbangan yang paling penting adalah bahawa Malaysia mesti mempunyai kestabilan politik agar negara dapat maju ke hadapan.
“Negara kini menghadapi masalah ekonomi yang meruncing selain berdepan wabak Covid-19 yang perlu ditangani secara bersungguh-sungguh dan segera.
“Kerajaan GPS akan mematuhi sebarang keputusan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan kebuntuan ini berdasarkan Artikel 40 (2) (a) dan (b), Perkara 43 (2) (a) dan Perkara 55 (2) dibaca bersama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media pada Majlis Amanat Integriti di Miri, hari ini.
Abang Johari kembali ke Sarawak pada jam 10 malam tadi selepas dua hari di ibu negara bagi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kemelut politik yang sedang melanda Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ahad lalu bagi mempersembahkan secara rasmi sokongan penuh GPS kepada Dr Mahathir untuk terus memimpin Kerajaan Persekutuan.