Penjawat awam disaran kekal ‘Apolitical’ dan berkecuali- Ceupacs

KUALA LUMPUR, 26 Feb -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan penjawat awam di negara ini agar mengekalkan pendirian ‘apolitical’ dan berkecuali susulan situasi semasa politik negara.

Presidennya Adnan Mat berkata rakyat, khususnya penjawat mesti terus menjunjung dan mempertahankan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan. 

"Semua penjawat awam juga perlu bertenang dan bersabar serta memberi fokus sepenuhnya dengan meneruskan tugas mengikut undang-undang bagi memastikan semua sistem penyampaian kerajaan terus berjalan lancar.

"Perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat mestilah diteruskan walaupun dalam situasi negara yang belum ada kerajaan tetapi sebenarnya penjawat awam penuh komitmen untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara bagi memastikan negara sentiasa aman dan damai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs turut mengambil pendirian berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya sebarang langkah yang diambil Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh demi memastikan kesejahteraan serta keharmonian rakyat dan negara. 

Katanya, Cuepacs dan penjawat awam sentiasa bersama dengan kerajaan yang akan terbentuk untuk terus memajukan negara ini ke arah yang lebih cemerlang seterusnya memberi perkhidmatan berkesan dan berkualiti.

Justeru, Cuepacs menegaskan semua penjawat awam dilarang sama sekali daripada menghadiri atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan berkaitan politik, membuat penyataan awam, mengedarkan atau menularkan berita palsu di media sosial atau medium komunikasi yang lain serta melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata Cuepacs memberi kepercayaan penuh kepada Dr Mahathir dan merayu semua ahli politik agar dapat memberi kerjasama seterusnya dapat membentuk sebuah kerajaan yang adil lagi kukuh.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel