Sindiket edar dadah di Johor Bahru, Kuala Lumpur tumpas

JOHOR BAHRU, 26 Feb -- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan lima lelaki warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM319,510 dalam lima serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan Kuala Lumpur, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata kesemua suspek berusia antara 28 hingga 53 tahun itu ditahan oleh pasukan Bahagian Risikan Zon 1, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.


Katanya, serbuan pertama dilakukan pada pukul 11 pagi di sebuah rumah di Jalan Dato Jaafar, di sini, dan polis menahan seorang suspek berusia 32 tahun serta merampas dadah jenis ketamin seberat 5.79 kilogram serta 4,250 biji pil eramin 5 yang disembunyikan di dalam sebuah kereta Perodua Myvi.

Shahurinain berkata serbuan kedua melibatkan seorang suspek berusia 33 tahun di Jalan Larkin, dan polis menemui dadah jenis ketamin seberat 500 gram serta 292 biji pil ecstasy yang disembunyikan di dalam sebuah kotak.

“Serbuan ketiga di sebuah rumah di Taman Bukit Indah pula membawa kepada penahanan suspek berumur 30 tahun, diikuti penahanan suspek berusia 53 tahun di sebuah rumah di Taman Scientex Kulai dan suspek berusia 28 tahun pula ditahan di kawasan meletak kenderaan di pusat beli belah Suria KLCC (Kuala Lumpur).

“Kita percaya kumpulan ini mengedar dadah untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun, polis masih menyiasat sejak bila kumpulan ini aktif dalam pengedaran dadah,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Shahurinain berkata polis turut menyita lima buah kenderaan dalam serbuan itu iaitu jenis Toyota Vellfire, Myvi, BMW, Honda dan Volkswagen Tiguan.

“Selain itu, kita turut menyita dua utas rantai, dua utas gelang tangan, dua cincin, wang tunai 280 Thai Baht, wang tunai sebanyak RM17,552 serta tiga utas jam tangan jenama Arbutis, Automa Poletto dan Tissot yang mana kesemuanya dianggarkan bernilai RM 621,729,” katanya.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap kelima-lima suspek adalah negatif.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam (25 Feb) sehingga 27 Feb dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel