Ibu tidak sangka "Apai" jadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia



KUCHING - `Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Itulah perumpamaan sesuai menggambarkan nasib anak tunggal kepada Rahmah Jemali dari Kampung Lintang di sini.

Suri rumah yang pandai menjahit pakaian dan menyulam selendang keringkam, manakala suaminya hanya bekerja sebagai pembaca meter di Lembaga Air Kuching ini, tidak pernah menyangkakan anak lelakinya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang dilahirkan pada 58 tahun lalu kini menjadi lelaki hebat dan terkenal di Malaysia.

“Ada dua perkara berlaku yang bagaikan mimpi dalam hidup saya. Pertama, anak saya berkahwin dengan kerabat diraja dan kedua, dia kini menjadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu sejarah kerana menjadi anak Sarawak pertama dipilih menjawat jawatan itu.




“Dalam sejarah, tak pernah ada orang lain selain daripada dia (jadi Panglima ATM), rasa macam mimpi. Begitu juga bila dia kahwin dengan kerabat rasa-rasa tak percayalah mungkin memang jodoh dia tapi Tuhan nak bagi kita terimalah,” ujar Rahmah ditemui di rumahnya di Kampung Lintang.

Affendi, 58, yang dikenali sebagai 'Apai' semasa dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilantik sebagai Panglima ATM ke-21 menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin pada awal Januari lalu.

Beliau yang sebelum ini menjadi anak Sarawak pertama dilantik sebagai Panglima TUDM pada tahun 2016, merupakan abang ipar kepada Yang di-Pertuan Agong selepas mengahwini kekanda baginda, Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.



Bercerita mengenai anaknya itu, Rahmah yang kini berusia 74 tahun memberitahu, dia pernah menghalang Affendi menceburi bidang ketenteraan kerana enggan berjauhan dengan anak tunggalnya.

“Apabila Affendi menyuarakan hasrat mahu melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja (RMC) Sungai Besi di Kuala Lumpur, saya cakap tak setuju. 





“Selepas itu, Affendi tidak pernah cakap apa-apa lagi tetapi kerap dilihat termenung. Suatu hari ada kawan baiknya bernama Wan Abdul Razak datang jumpa saya memaklumkan Affendi sedih dan berharap sangat dapat masuk RMC,” ujarnya sambil memberitahu dia lembut hati selepas mendengar kata sahabat anaknya itu. 

Sepanjang menyertai TUDM dan menjadi juruterbang jet pejuang, Rahmah pernah diuji apabila hampir kehilangan anaknya itu yang terbabit dalam nahas pesawat di Kampung Budu berhampiran Kuala Lipis, Pahang pada 25 Mac 1988.

Nahas berlaku semasa Affendi memandu pesawat A4-PTM Skyhawk dari Labuan untuk mengadakan latihan pengeboman apabila pesawatnya mengalami kerosakan dan terhempas.

Mujur dalam tragedi itu, beliau sempat melompat keluar dari pesawat menggunakan kerusi anjal dan payung terjun digunakan tersangkut atas pokok di hutan.

Menurut Rahmah, seluruh badannya lemah tidak bermaya apabila mendengar berita mengenai tragedi itu dan hanya berasa lega apabila Affendi sendiri menghubunginya ketika berada di hospital.



“Lepas jam 7 malam, baru Affendi telefon saya, dia kata mak jangan susah hatilah….aku ni selamat, relax-relax  di hospital ni. Makcik marah dia sebab dalam keadaan cemas pun masih mahu bergurau,” katanya.

Mengenai minat dan bakat kepimpinan anaknya dalam bidang ketenteraan, Rahmah berkata, ia disedari semasa Affendi masih kanak-kanak lagi apabila suka bermain patung askar, senapang kayu dan menjadi ketua apabila bermain tembak-tembak bersama rakan sekampung. 

Mengakui Affendi seorang yang pendiam apabila berada di rumah, Rahmah bagaimanapun tidak pernah melepaskan peluang untuk memasak lauk kegemaran anaknya iaitu sambal belacan, ikan asam pedas dan daging masak hitam jika datang ke rumah panglima itu di Kuala Lumpur. 

Sebagai ibu, Rahmah sentiasa mendoakan anaknya itu dapat melaksanakan tugas diamanahkan dengan baik.

“Sekarang ni minta-mintalah dia sentiasa sihatkan, menjalankan tugas dia dengan lancar. Itu makcik doa, setiap kali makcik sembahyang makcik doa dia sihat, dapat buat tugas dengan jujur dan ikhlas” katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel