Ivan Yeo kembali ke Bintulu selesai dikuarantin
SIBU, 21 Feb -- Ivan Yeo, seorang mahasiswa jurusan Sains Geografi di China University of Geosciences di Wuhan, yang merupakan seorang daripada 107 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari bandar di China itu pada 4 Feb lepas berikutan wabak COVID-19, kembali ke tempat asalnya di Bintulu, Rabu lalu selepas dikuarantin selama 14 hari.
Pelajar tahun dua itu memberitahu Bernama beliau ingin berehat dan mungkin menyertai kelas pembelajaran dalam talian.
Beliau dikuarantin bersama 87 lagi rakyat Malaysia dan 19 anggota keluarga yang bukan warganegara di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Yeo dibenarkan meninggalkan pusat kuarantin itu selepas menjalani tiga ujian perubatan yang mendapati dia negatif COVID-19.
Wuhan adalah ibu kota Wilayah Hubei dan merupakan lokasi wabak COVID-19 yang pertama kali dikesan pada Disember tahun lepas. Semalam Suruhanjaya Kesihatan Wilayah Hubei melaporkan terdapat 62,442 jangkitan dan 2,144 kematian setakat ini.
- Bernama