Pemuda Amanah bantah senarai penyelaras Parlimen


KUCHING - Pelantikan Penyelaras Parlimen ini jelas dan terang membelakangkan konsensus bersama Pakatan Harapan Sarawak kerana tidak dibincangkan dan diputuskan bersama dalam Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Sarawak. 

Ketua Pemuda, Parti Amanah Negeri Sarawak, Abu Tariq berkata wakil parti nya dinafikan daripada menjadi Penyelaras Parlimen di kawasan-kawasan yang calon Amanah bertanding pada PRU-14. 

"Amanah bekerja dan menyantuni penduduk di Parlimen berkenaan untuk menyampaikan dasar dan insiatif Pakatan Harapan. Tindakan ini jelas cubaan untuk menafikan peranan Amanah dalam Pakatan Harapan Sarawak," katanya dalam kenyataan yang diedarkan hari ini. 

Tariq berkata Amanah berpegang dengan garis panduan awal dalam pemilihan Penyelaras Parlimen, yakni mana-mana parti komponen Pakatan Harapan yang bertanding di Parlimen berkenaan pada PRU-14 berhak mencalonkan nama Penyelaras bagi Parlimen tersebut. 

"Dengan tegas dan kecewa, Pemuda Parti Amanah Negara Negeri Sarawak menolak sepenuhnya perlantikan Penyelaras Parlimen ini. Untuk itu surat bantahan akan dihantar kepada Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak dan Majlis Presiden Pakatan Harapan, " tegas beliau. 

Pemuda Amanah Sarawak menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan mengambil tindakan yang sewajarnya kerana hal ini menjejaskan keutuhan Pakatan Harapan Sarawak. 


LihatTutupKomentar
Cancel