Menteri Kewangan buat polisi Pendidikan?
SERIAN, 21 Feb: Sarawak setakat ini mempunyai keseluruhannya sebanyak 651 sekolah rendah yang mempunyai kurang dari 150 orang murid dari tahun 1 sehingga tahun 6 atau Sekolah Kurang Murid (SKM).
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Sri Michael Manyin Jawong berkata demikian dengan sebanyak lapan sekolah rendah terbabit hanya ada seramai 10 orang atau kurang 10 orang murid.
"Jadi, kamu dapat bayangkan berapa kosnya. Sebanyak lapan sekolah ada seramai 10 atau lapan orang murid sahaja, guru minimumnya seramai 13 orang (setiap sekolah terbabit),"katanya kepada pemberita ketika merasmikan Gotong-Royong Mega 2020, di pekan Serian di sini, hari ini.
Manyin berkata sekolah rendah SKM di Sarawak ada seramai 11 sehingga 20 murid berjumlah 43 sekolah, seramai 21 hingga 30 murid (54 sekolah ), seramai 31 sehingga 50 murid (196 sekolah ) dan seramai 50 hingga 100 murid (261 sekolah).
Beliau berkata ada sekolah kurang murid terbabit juga kurang guru menyebabkan guru yang ada terpaksa mengajar matapelajaran lain yang bukan kemahiran mereka dan ini antara punca murid SKM mempunyai keputusan akademik rendah.
Katanya disebabkan banyak SKM sehingga sukar bagi negeri ini menambahbaik pendidikan rakyat Sarawak, Kementerian Pendidikan ketika Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan pusat sebelum ini merayu sekolah terbabit digabungkan dan disediakan kemudahan asrama.
"Sebab itu saya terkejut, Menteri Kewangan membuat kenyataan ini,"katanya mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baharu -baharu ini yang tidak bersetuju dengan pengabungan sekolah di negeri ini bagi mengatasi masalah sekolah daif kerana khuatir itu akan menyebabkan keciciran pelajar disebabkan faktor jarak serta kos pengangkutan tinggi.
Manyin berkata ini kali pertama pihaknya mendengar Menteri Kewangan kerajaan pusat terbabit dengan pendidikan negara dan berbeza dengan sebelum ini yang semuanya dilakukan Kementerian Pendidikan dan Menteri Pendidikan.
"Pengabungan sekolah ini juga tidak akan menyebabkan keciciran, semua sekolah digabungkan itu akan ada kemudahan asrama dan kemudahan terbaik lain bagi digunakan minimum seramai 300 murid disamping bilangan guru mencukupi,"katanya.
Beliau berkata kebanyakan wakil rakyat di Sarawak juga mengalukan pengabungan sekolah terbabit dan mengakui hanya ada beberapa tempat sahaja itu tidak dapat dilakukan kerana masalah perhubungan.
Manyin berkata ada antara sekolah kurang murid yang dicadangkan ditutup bagi digabungkan terbabit hanya sejauh lima minit memandu sahaja dari sekolah gabungan yang akan dibina.
tamat
keterangan gambar:
1. Datuk Sri Michael Manyin Jawong (tiga dari kiri) bersama wakil rakyat di Bahagian Serian menyertai Gotong-Royong Mega 2020, di pekan Serian di sini, hari ini.