Jangan berbalah isu peralihan kuasa
KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak meminta semua pihak yang masih lagi berbalah tentang isu peralihan kuasa melibatkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya berhenti melakukan provokasi tersebut dan memberi fokus kepada agenda memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.
Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sarawak
Jaziri Alkaf A. Suffian berkata, bersandarkan penerangan yang dijelaskan oleh Dr. Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kelmarin ia sudah cukup untuk menjawab segala isu berkaitan peralihan kuasa antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, Tun Dr. Mahathir dalam sidang media telah menjelaskan bahawa segala keputusan telah diserahkan kepada beliau dan apa yang diputuskan beliau akan dituruti oleh pimpinan PH.
Beliau juga menjelaskan peralihan kuasa akan berlaku selepas Persidangan APEC tetapi tiada tarikh yang ditetapkan.
"Malah Tun Dr. Mahathir telah menjelaskan beliau yang akan tentukan sama ada nak lepas atau tidak.
"Oleh itu adalah lebih baik PH menumpukan kepada memberi khidmat kepada rakyat yang kini semakin terhimpit akibat kekangan ekonomi yang berlaku ketika ini serta hentikan politik yang keterlaluan dan mempunyai kepentingan peribadi kerana rakyat sudah bosan dengan agenda sedemikian.
"Apatah lagi kini banyak lagi tugas yang belum selesai terutama dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat kerana mereka yang perlu menjadi keutamaan dan bukannya agenda untuk kepentingan peribadi, katanya dalam kenyataan media.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri turut menyatakan kesediaan Bersatu Sarawak untuk menjadi parti yang diberi peranan lebih besar dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) yang dijangka akan berlangsung pada bila-bila masa dalam tahun ini.
"Tun Dr. Mahathir sudah pun memberi indikasi mungkin selepas berakhirnya pemilihan parti Bersatu nanti, Sarawak akan menjadi tumpuan berikutan kemungkinan PRN akan berlangsung.
"Adalah menjadi harapan akar umbi berdasarkan pengamatan melalui jelajah dan program yang dibuat Bersatu di seluruh Sarawak yang mahukan parti ini memainkan peranan penting malah mengetuai PH dalam menghadapi PRN nanti.
"Bersatu Sarawak mahu menyahut cabaran itu kerana sudah ada keperluan dari pengundi di akar umbi yang mahu kami menjadi tunjang utama dalam PRN nanti.
"Saya melihat Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu telah melancarkan semboyan dan Bersatu Sarawak telah bersedia serta membuat persediaan rapi untuk bertanding dalam PRN," katanya.
Beliau berkata, Bersatu Sarawak juga akan mengemukakan calon dan kerusi yang dirasakan bersesuaian kepada Dr. Mahathir dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kata putus adalah terletak di tangan mereka.