Mana bantuan janji GPS, DAP
KUCHING, 23 Feb: Kerajaan negeri diminta mempercepatkan pemberian bantuan khas musim tengkujuh sebanyak RM300 kepada setiap nelayan di negeri ini yang tidak dapat keluar menangkap ikan kerana cuaca buruk musim tengkujuh ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong berkata demikian kerana ramai nelayan tempatan memerlukan bantuan itu berikutan mereka sudah lama tidak dapat turun ke laut sejak musim itu bermula Oktober tahun lepas.
"Saya mahu menyeru kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS), mereka telah berjanji memberi RM300 sebulan kepada nelayan, tetapi sampai hari ini mereka belum memberikannya. Itu adalah bantuan khas musim tengkujuh,"katanya ketika mengadakan sesi dialog bersama Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen dengan ahli Persatuan Kotak Tangkap Ikan Sungai Apong Kuching, di Sungai Apong, Pending, di sini, hari ini.
Violet berkata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan bantuan terbabit pada pembentangan Bajet 2020 Sarawak di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, November tahun lepas.
"Tetapi mengikut nelayan di sini (Sungai Apong), sehingga hari ini mereka belum ada menerima wang bantuan khas musim tengkujuh terbabit walaupun sudah mengisi borang permohonannya dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),"katanya yang juga memberi sumbangan sebanyak RM5,000 kepada persatuan terbabit yang didaftarkan pada 1949 serta ada seramai 80 ahli terdiri dari nelayan bot kotak.
Selain itu, Violet meminta nelayan di negeri ini memohon bantuan Touch Point dari Jabatan Perikanan Malaysia yang boleh digunakan mereka mendapatkan peralatan menangkap ikan atau alat keselamatan menangkap ikan di laut.
"Bagi bantuan ini, kerajaan pusat telah memperuntukkan sebanyak RM500 sehingga RM1,500 bagi setiap nelayan bagi mereka mendapatkan peralatan terbabit dan bantuan ini bukan (secara) tunai,"katanya.
Katanya antara peralatan terbabit termasuk jaket keselamatan, jam sistem pengesanan global (gps), teropong, jaring ikan, baju hujan, mesin penarik bot, lampu suluh, peti sejuk, alat membaiki enjin bot, meja kerja, rak kerja dan peralatan lain diperlukan nelayan.
tamat
keterangan gambar:
1.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong (kiri) menyampaikan sumbanganya sebanyak RM5,000 kepada Pengerusi Persatuan Kotak Tangkap Ikan Sungai Apong Kuching, Lau Hong Joong, di Sungai Apong, Pending, di sini, hari ini.
2. Bot kotak milik kalangan nelayan ahli Persatuan Kotak Tangkap Ikan Sungai Apong Kuching.