Jangan lupa pengkhianatan Tommy

Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

KUALA LUMPUR : Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi) dan Pertubuhan Sumayyah Ukhwah Fillah Malaysia merafak sembah memohon Yang di-Pertuan Agong untuk membincangkan pengkhianatan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas kerana beliau telah mengkhianati amanah rakyat.

Datuk Norasyikin Abdul Ghani berkata, walaupun Tommy sudah meletak jawatan tetapi kebimbangan rakyat yang tercetus akibat tindakannya mengkhianati sistem perundangan.

Katanya, beliau membelakangkan semua pemegang taruh seperti Kementerian Dalam Negeri, kehakiman, Polis Diraja Malaysia sebelum membuat keputusan 
berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Beliau turut dilihat berat sebelah dalam kes Adib, hina sultan, kes rasuah projek terowong di Pulau Pinang dan lain-lain lagi.

"Walaupun dia sudah meletak jawatan tidak semestinya tindakan yang sudah diambil dilepas begitu sahaja, jenayah tiada had masa jadi tak salah jika semua tahanan LTTE yang dibebaskan itu boleh ditahan semula," katanya kepada wartawan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Summayah Sanah Manaf berkata, rakyat menolak lantikan politik yang menjadi balaci politik semata-mata sehingga wujud pendakwaan terpilih, kes yang sepatutnya disiasat tidak diteruskan manakala kes yang sepatutnya didakwa tidak diteruskan.

"Ia amat berat sebelah dan Tommy sudah mengkhianati Yang di-Pertuan Agong yang melantiknya.

"Tommy perlu dipertanggungjawabkan dalam apa jua isu apabila melepaskan suspek LTTE," katanya.

Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu melepas dan membebaskan lapan tahanan lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G Saminathan daripada pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Perintah pembebasan itu dikeluarkan empat Mahkamah Tinggi berasingan yang mendengar kes mereka selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya bahawa Peguam Negara telah mengeluarkan arahan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap kesemua tertuduh mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.


LihatTutupKomentar
Cancel