Muhyiddin menghadap Agong pagi ini

 
KUALA LUMPUR, 29 Feb --  Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi ini. 

"Tujuan kami adalah untuk berusaha sebaik mungkin bagi menyelamatkan apa yang sedang dihadapi (situasi politik) di negara ini," katanya kepada pemberita sebelum bertolak ke Istana Negara dari kediamannya di Bukit Damansara di sini pada pukul 10 pagi. 

Beberapa ahli politik dan presiden parti turut bersama Muhyiddin antaranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi, Bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali , Setiausaha Agong UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agong PAS Datuk Takiyuddin Hasan.

"Tujuan kita adalah ikhlas dan kita minta seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan usaha yang kita buat ini akan diberikan sokongan dan doa untuk berjaya, saya harap mudah-mudahan akan dikabulkan oleh Allah, " tambahnya. 
 
Muhyiddin bersama beberapa pimpinan parti Muafakat Nasional dilihat tiba pada pukul 10.03 pagi di Pintu 2, sebelum meninggalkan kawasan Istana Negara melalui pintu sama kira-kira 40 minit kemudian.

Kenderaan yang dinaiki Ahli Parlimen Pagoh itu turut diiringi kira-kira 19 buah kenderaan, yang dipercayai membawa para pimpinan parti Muafakat Nasional lain.

Semalam kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) (42 orang), PAS (18 orang), dan Bersatu (36 orang) didakwa telah menamakan Muhyiddin untuk menjadi calon bagi menjawat jawatan pemimpin nombor satu negara itu berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai perdana menteri Isnin lepas.

Bagaimanapun episod terbaharu perkembangan politik negara pagi ini menyaksikan Dr Mahathir menyatakan kesediaan menjadi calon perdana menteri hasil mesyuarat dengan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH), awal pagi tadi.

Beliau juga menjelaskan tidak pernah mencalonkan mana-mana calon lain bagi jawatan itu.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel