Juruteknik maut dirempuh Grab


SIBU: Seorang juruteknik komputer yang cedera parah selepas motosikalnya dilanggar pemandu kereta Grab Jumaat lalu meninggal dunia semasa menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu, semalam.

Mangsa Mohammad Herman Elias, 38, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.03 petang semalam.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 15 Feb kira-kira jam 5.10 pagi, ketika kereta Perodua Axia sedang bergerak dari arah Ulu Sg. Merah hendak menuju ke Lapangan Terbang Sibu.

Semasa melalui Jalan Tunku Abdul Rahman, pemandu kereta telah melanggar belakang sebuah motosikal Yamaha mangsa yang sedang bergerak lurus di lorong kiri jalan tanpa lampu belakang. 

Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Sibu.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sibu, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Pemandu kereta ditangkap dibawah Sek.112 APJ 1987 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek. 41(1) APJ 1987. 

Kes masih dalam siasatan.
LihatTutupKomentar
Cancel