Kastam Sarikei rampas arak, rokok seludup
SARIKEI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bahagian Penguatkuasaan Sarikei berjaya merampas arak dan rokok seludup dianggarkan bernilai RM67,086.83
dengan anggaran duti dan cukai berjumlah RM 398,874.57 dalam dua serbuan.
Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata,dalam operasi Sabtu lalu, pihaknya berjaya merampas sejumlah rokok putih pelbagai jenama yang
dipercayai tidak berkastam di sebuah jeti di Sarikei.
"Rokok-rokok ini dipercayai untuk diedarkan di sekitar kawasan
berdekatan Sarikei dengan menggunakan bot.
"Semasa membuat pemeriksaan pihak Kastam menjumpai bungkusan hitam berbentuk kotak diletakkan di jeti yang
gelap bagi mengelirukan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,setelah menghampiri jeti terbabit dan diperiksa, bungkusan itu merupakan rokok-rokok yang dipercayai untuk edaran di kawasan sekitar.
"Dalam satu kes berasingan baru-baru ini pihak kita menyita sejumlah
minuman keras dan rokok pelbagai jenama dipercayai belum lulus kastam di sebuah
premis kediaman yang dijadikan stor di Bintangor untuk menyimpan dan mengedar
minuman keras dan rokok di sekitar daerah Meradong.
"Semasa serbuan dilakukan seorang lelaki warganegara Malaysia telah ditangkap dan dibawa ke pejabat Kastam
Sarikei bersama barangan yang disita untuk siasatan lanjut,"katanya.
Beliau berkata,kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.