Tak jumpa di pejabat, pergi ke rumah


SERI KEMBANGAN: Presiden PKR, Anwar Ibrahim dipercayai bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di kediaman peribadinya hari ini.

Beliau, yang disertai Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dilihat memasuki kediaman Mahathir pada 10.45 pagi tadi lapor Portal Berita Malaysia Gazette. 

Pertemuan ini dipercayai mengenai hala tuju Pakatan Harapan – yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM – di sebalik cakap-cakap mengenai penyusunan baru politik yang bakal menyaksikan kawan dan lawan membentuk gabungan pemerintah baru tersebar luas.


Menurut Astro Awani, keempat-empat pemimpin komponen PH itu sedang berjumpa Mahathir.

Sebelum itu, Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan muncul di Pejabat Perdana Menteri (PMO) pagi tadi, tetapi gagal menemui Dr Mahathir Mohamad.

Anwar bersama isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di PMO pada 9.36 pagi tadi.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Presiden Amanah merangkap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, mereka berempat dilihat meninggalkan PMO pada 10.26 pagi, manakala Menteri Belia dan Sukan yang juga ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar pada 10.21 pagi.

“Mereka kini ke rumah Mahathir,” kata pembantu seorang menteri kepada Free Malaysia Today. 

Perdana Menteri sepatutnya mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Negara pada 11 pagi ini.

Media tunggu di luar rumah Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan.
Tetapi, difahamkan semua mesyuarat membabitkan Mahathir sudah dibatalkan hari ini.

Anwar bersama Wan Azizah, Lim dan Mohamad dilihat memasuki kawasan kediaman Mahathir yang juga pengerusi PH di Seri Kembangan pada 10.45 pagi tadi.

Ia dipercayai bagi membincangkan hala tuju PH selepas beberapa mesyuarat berasingan yang dibuat PPBM, PAS dan Umno semalam.

Sumber berkata, 4 pemimpin kanan itu sedang berbincang dengan Mahathir.

Anwar dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang ini.

Semalam, pemimpin PPBM, PAS, Umno dan mereka yang bersekutu dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya susulan spekulasi hangat mengatakan penyusunan baru politik akan berlaku.

Pada masa sama, penyokong Anwar pula mengadakan majlis solat hajat dan doa selamat di rumahnya di Bukit Segambut, di mana beliau mengutuk cubaan untuk mengkhianati Pakatan Harapan.
LihatTutupKomentar
Cancel