Kerap mengaji dan ziarah pusara ibu sebelum hilang
ASAJAYA: Perangai pelik seorang abang,
Mohiden Mohamad,44,mangsa yang hilang selepas keluar mencari ambal di Kampung Sambir,di sini,semalam,
sejak kebelakangan ini memberi petanda bahawa dia akan pergi selama-lamanya.
Adiknya, Solpiah Mohammad, 43, berkata, mereka sekeluarga perasan perubahan ketara yang ditunjukkan anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu.
"Abang lebih banyak berdiam diri sejak keluar dari hospital menjalani rawatan baru-baru ini.
"Malah, dia setiap hari mengaji dan kerap menziarahi pusara ibu, mungkin sudah tahu bahawa dia akan pergi meninggalkan kami, "katanya dengan nada sedih ketika ditemui dikediamannya di Kampung Sambir hari ini.
Katanya, abangnya itu memang kerap keluar mencari ambal bersama penduduk kampung ketika musim puncak makanan laut itu.
"Dia memang sudah biasa keluar mencari ambil jika ada waktu terluang, hasil yang diperoleh untuk makanan keluarga dan ada yang dijual.
"Malah dia juga turut minat berniaga hasil tani selepas berhenti menjadi pemandu bas,"ujarnya.
Menjelas lanjut, katanya, dalam kejadian semalam abangnya keluar mencari ambal pada jam 9 pagi bersama seorang rakan kampungnya dan penduduk yang lain.
"Orang lain semua sudah balik pada jam 1 tengah hari kerana hujan lebat dan air pasang ketika itu, namun kelibat abang belum nampak.
"Keluarga mulai bimbang kerana abang masih belum balik sehingga jam 5 petang dan hanya menjumpai selipar miliknya di tebing sungai,"jelasnya.
Sementara itu,Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 6.50 petang semalam.
"Operasi mencari dan menyelamat(SAR) mangsa dimulakan jam 7 pagi ini, termasuk menggunakan anjing pengesan dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),"katanya.
Dalam pada itu,operasi SAR dihentikan pada jam 4.46 petang ini berikutan hujan dan laut bergelora yang tidak selamat untuk operasi pencarian.