Polis cari waris tengkorak
PADAWAN: Polis sedang mengesan identiti tengkorak manusia yang ditemui baru-baru ini.
Sehubungan itu, sesiapa yang kehilangan ahli keluarga boleh tampil ke balai polis yang berdekatan.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, polis kini mengesan identiti tengkorak dan beberapa tulang manusia di tepi Jalan FAC Batu 11, Matang di sini pada 25 Februari lalu.
"Selain tengkorak dan tulang, turut dijumpai satu helai baju lengan pendek yang tertera perkataan SIDMA Kolej Sarawak.
"Lebih kurang 20 meter dari tempat penemuan tulang tersebut turut menjumpai satu seluar jean warna biru jenama LMS dan kasut sukan berwarna hitam jenama Fasshion saiz 7.
"Turut dijumpai satu beg warna biru tertera logo UITM dan satu helai jaket jenama Hellyhansan saiz S," katanya dalam kenyataan media.
Orang ramai boleh menghubungi Ketua Polis Balai Batu Kawa yang juga Pegawai Penyiasat, Sub Insp. Noh Pojak di talian 082-463412 atau 019-8470303.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) telah mengesahkan tulang itu adalah tulang manusia dewasa berdasarkan ciri-ciri saiz tulang dan tengkorak.
Katanya, kes diklafikasikan sebagai mati mengejut terlebih dahulu sehingga sisatan serta analisa lebih lanjut dijalankan.
Tengkorak dan tulang manusia itu ditemui di dalam semak oleh seorang lelaki tempatan yang kebetulan mencari rumput untuk makanan ternakannya.