Tulang dari Gua Niah dalam perjalanan pulang dari Amerika Syarikat

GAINESVILLE, Florida: Proses penghantaran pulang koleksi tulang manusia prasejarah dari Gua Niah ke Kuching bermula jam 4.00 pagi ini, waktu tempatan.

Proses penghantaran pulang tersebut diselia oleh pensyarah University of Florida, Profesor Dr John Krigbaum, sambil dan dibantu Ketua Unit Arkeologi Jabatan Muzium Sarawak Mohd Sherman Sauffi.

Hadir menyaksikan acara bersejarah itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Tetap kementeriannya, Hii Chang Kee dan Pemangku Pengarah Muzium Sarawak, Tazudin Mohtar.


Abdul Karim yang ditemui selepas itu memberitahu, ia saat yang sangat emosi namun menggembirakan.

“Saya sendiri berasa gembira sekali melihat tulang-tulang yang datangnya dari Gua Niah ini akhirnya kembali ke Sarawak, kerana kita tahu usaha untuk membawa pulang tulang-tulang ini telah diusahakan lama.

“Ia bermula pada tahun 2010 ketika Ketua Menteri pada waktu itu, (Tun) Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah mencadangkan agar tulang-tulang yang telah dihantar ke Amerika Syarikat ini dapat dibawa pulang.


“Daripada situlah usaha-usaha ini telah dijalankan,” katanya lagi sambil menyifatkan saat ini sebagai amat bersejarah untuk negeri Sarawak. 

Katanya, secara keseluruhannya, terdapat 122 fragmen tulang yang telah diekskavasi dari Gua Niah, Miri bermula penghujung tahun 1950-an hingga awal 1960-an.

“Ia kemudian telah dihantar ke Amerika Syarikat pada tahun 1966, iaitu ke University of Nevada, Las Vegas sebelum berpindah ke University of Florida, di Gainesville pada 2017.


“Setelah lebih 50 tahun berada di luar negara untuk aktiviti penyelidikan, nenek moyang kita di Sarawak ini kini akan kembali ke tanah air, insya-Allah.

Pada majlis ringkas tersebut, Abdul Karim turut  merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sejak tahun 1950-an hingga sekarang kerana melakukan penyelidikan penting ini.

“ Kita akan membuat satu upacara ringkas untuk menerima tulang-tulang ini kembali ke  tanah air,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Tazudin Mohtar menjelaskan, persiapan akhir untuk membawa tulang-tulang ini kembali ke Sarawak telah bermula sejak seminggu lalu, dan ia akan melalui pelbagai proses dan prosedur keselamatan yang ketat.

“Ini kerana tulang-tulang ini berusia ribuan tahun dan ia amat berharga.

Pasukan yang diketuai Dr Krigbaum katanya, telah melakukan proses dokumentasi dan pembungkusan yang rapi, sebelum tulang-tulang ini dibawa ke Atlanta menggunakan jalan darat, dan diterbangkan ke Singapura, sebelum tiba di Kuching.

Satu seminar mengenai koleksi tulang prasejarah ini dijangka  akan diadakan pada 5 Mac ini, dan beberapa pakar arkeologi yang pernah membuat kajian di Kompleks Gua Niah dijangka akan berkongsi penemuan mereka.

Gambar dan teks ihsan Jabatan Muzium Sarawak 
LihatTutupKomentar
Cancel