Kerja naiktaraf jalan siap Ogos 2021


SAMARAHAN, 27 Feb: Projek menaiktaraf dan membaikpulih Jalan Pesisir Pantai Sarawak Pakej PA-1 dari Simpang Kampung Tambey selepas Jambatan Batang Samarahan sehingga daerah Asajaya dijadualkan siap pada 3 Ogos 2021.

Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata projek sepanjang 12.3 kilometer (km) terbabit telah bermula 4 Febuari lepas dan menelan kos sebanyak RM11.8 juta dan tidak membabitkan pemasangan lampu jalan.

"Ini (RM11.8 juta) untuk jalan sahaja, lampu jalan pula kita akan bawa dibawah program Integrated Regional Samarahan Development Agency (ISDA)," katanya ketika mengadakan lawatan dan melakukan pecah tanah projek terbabit di Kampung Tambirat, Asajaya, di sini, hari ini.

Julaihi Narawi berkata projek Pakej PA-1 terbabit dijangka memberi banyak cabaran kepada kontraktornya antaranya laluan jalan sedia ada sibuk lalulintasnya kerana  digunakan ramai pengguna kenderaan dari bahagian lain.

"Cabaran kedua ialah cuaca, diharapkan cuaca akan baik kepada mereka ( kontraktor projek), kerana kami mahu projek ini disiapkan mengikut tempoh masa termaktub dalam kontrak,"katanya.

Selain itu, terdapat banyak gerai perniagaan di sepanjang jalan terbabit dan  pihaknya  sudah memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan supaya gerai itu ditempatkan ke tempat lain yang lebih selamat dan sesuai.

Julaihi berkata Pakej PA-1 itu merupakan pakej yang ketiga sudah diserahkan kepada kontraktornya dari keseluruhan sebanyak 23 pakej projek menaiktaraf dan membaikpulih Jalan Pesisir Pantai Sarawak.

"Dua lagi package projek terbabit akan dikeluarkan tendernya minggu hadapan iaitu Pakej PA-3 berhampiran sini (Kampung Tambirat) dan Pakej PB-2 di utara negeri ini,"katanya.

Katanya 23 projek terbabit juga khusus dikeluarkan ditendernya kepada kontraktor bumiputera bagi mereka berpeluang menyertai kerja naiktaraf dan baikpulih Jalan Pesisir Pantai Sarawak.

Beliau berkata Jalan Pesisir Pantai Sarawak keseluruhannya sepanjang 896 km dari Lundu sehingga Miri dan laluannya yang perlu dinaiktaraf dan baikpulih sepanjang 331 km.

LihatTutupKomentar
Cancel