Orang Niah berumur 40,000 tahun mesti dibawa balik

KUCHING, 2 Feb: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan menjangkakan lebih 100 tulang manusia purba berusia 40,000 tahun ditemui di Gua Niah yang disimpan di Amerika Syarikat akan dapat dikembalikan semula ke Sarawak bulan ini atau Mac depan.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ketika ini tulang itu disimpan Universiti Of Florida di Florida, Amerika Syarikat dan pihaknya sudah menulis kepada universiti terbabit dan beliau juga akan ke sana bagi membawa pulang tulang itu.

"Diharapkan ianya ( lebih 100 tulang manusia purba itu) akan sampai di sini (Sarawak) pada Febuari atau Mac,"katanya ketika merasmikan Pesta Menuai Pongal Tahuan Ke-5 Anjuran Malaysia Hindu Sangam Sarawak State Council di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata pihaknya merancang mengadakan sambutan besaran bagi menyambut kepulangan tulang manusia purba itu yang ditemui di Gua Niah sewaktu Kurator Muzium Sarawak yang pertama, Tom Harisson telah melakukan kerja pengalian di gua terbabit antara 1957 dan 1967.

Terdapat lebih 200 tulang rangka manusia purba ditemui di pintu barat Gua Niah antara 1957 dan 1967 dan dari jumlah itu sebanyak 122 tulang terbabit dibawa menggunakan kapal ke Universiti Nevada di Amerika Syarikat bagi dijadikan bahan penyelidikan.

Katanya ini kerana ketika itu Sarawak tidak mempunyai universiti bagi melakukan kerja penyelidikan mengenai penemuan rangka tulang terbabit yang kemudian didapati berusia 40,000 tahun.

"Selepas University Of Nevada selesai melakukan penyelidikan, mereka telah menghantar tulang terbabit kepada Universiti Of Florida yang juga berminat bagi melakukan penyelidikan atas tulang itu dan sudah selesai,"katanya.

Pihaknya bernasib baik kerana apabila memeriksa rekod arkib negeri ini telah mendapati rangka tulang terbabit diserahkan kepada universiti di Amerika Syarikat hanya sebagai "pinjaman" bagi menjalankan penyelidikan.

Abdul Karim berkata kemungkinan lebih 100 tulang manusia purba itu akan dipamerkan di Kompleks Muzium Sarawak yang baharu siap dibina dan sedang menjalani kerja ubahsuai serta disasarkan akan dibuka hujung tahun ini.

Katanya selain tulang itu, kemungkinan juga kompleks muzium kedua terbesar di Asia Tenggara terbabit mempamerkan artifak kedatangan agama Hindu di Sarawak berikutan sebelum ini ada penemuan satu tapak kuil hindu purba di Santubong.
tamat

keterangan gambar:

1. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga dari kiri) ketika mengunjungi Pesta Menuai Pongal Tahuan Ke-5 Anjuran Malaysia Hindu Sangam Sarawak State Council di Tebingan Kuching di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel