Pakatan Harapan karam sebelum 21 Februari?

Tun Mahathir menunjukkan tandatangan persetujuan semua pemimpin komponen PH melantik beliau selaku Perdana Menteri. Rakam layar video sidang akhbar milik The Star. 



Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

'Satu bahtera dua nakhoda, sebenarnya malahan tiga'

Pepatah Melayu telah lama menceritakan bidalan berkaitan kecelaruan apabila beberapa orang berebut jawatan dalam mengendalikan perjalanan sesebuah organisasi.

Tetapi kebimbangan rakyat yang sebenarnya, adakah hero-hero Malaya kita mampu mendokong aspirasi negara, melindungi wilayah dan perundangan? 

Adakah hero kita ini memiliki akal yang cukup lengkap, tegas, berani menghadapi cabaran isu semasa di dalam dan luar negara?

Mampukah mereka melindungi perlembagaan dan memperkasakan undang-undang?

Adakah mereka ada keberanian mempertahankan Pulau Layang-layang (tactful) dan wilayah udara seluruh sempadan negara. 

Adakah mereka ada kebijaksanaan dan ilmu untuk berunding berkaitan membawa pulang wang dari luar negara, merangka polisi untuk meraih harga terbaik bagi getah, sawit dan segala komoditi negara serta kemahiran rundingan tarif dan cukai di dalam dan luar negara?

Dari aspek keselamatan, adakah mereka cukup terkini dalam persediaan menangkis semua bentuk ancaman seperti warga asing, penyakit berjangkit, siber, bekalan makanan, ketirisan data peribadi, dadah, jenayah antarabangsa dan penyebaran ideologi songsang yang bertentangan nilai masyarakat Malaysia. 

Dari aspek pendidikan, ikhlaskah mereka dalam mempersiapkan generasi sekarang ini tentang kecintaan sebenar kepada tanah air, mempelajari serta mengambil iktibar dari sejarah sekaligus memajukan negara bangsa itu sendiri?

Apa yang diperlukan seorang Perdana Menteri adalah barisan menteri yang mampu menyelesaikan masalah bagi pihak beliau malangnya yang sekarang ini dilihat menambah lagi lauk pauk yang serba masam dan terlebih masin ke dalam pinggan Perdana Menteri.

Episod kali ini tidak perlu menghidangkan wakil rakyat mana yang akan melompat, di mana dan bagaimana pertemuan sulit ini dilakukan.

Keluh kesah ini hanyalah dilihat oleh pihak yang memegang jawatan sahaja.

Sepatutnya barisan kabinet yang tawaduk, berilmu, ikhlas, sayangkan agama dan negara mendahului segala-galanya dan bukannya pandai membuat lawak jenaka roti john apabila bertemu diplomat asing.

Dan bukannya yang menyantuni Sajat secara berlebih-lebihan di media berbanding golongan asnaf dan anak yatim.

Jika kerajaan terdahulu, jentera pemimpin kita kenali menerusi program gerakkan belia anti dadah, tetapi anggota kerajaan hari ini kita kenal mereka dari berita ditangkap kerana pesta dadah dengan saringan ujian air kencing berkali-kali.


Kita juga kenal mereka  salah umum jumlah sebenar hutang negara, penjualan pelbagai aset negara dan juga kisah orang tua tidak lagi menerima jumlah ubat-ubatan bagi penyakit kronik seperti kerajaan terdahulu atas alasan bajet dikurangkan.

Kita juga kenal mereka kerana dikaitkan dengan syarikat yang mencemar alam sekitar dan juga dikaitkan perjuangan militan subversif negara asing.

Malangnya lagi, keperitan penguatkuasa undang-undang yang siang malam bertungkus lumus mengumpul bahan bukti militan subversif, dipersendakan dan dipertikaikan malah mahu undang-undang SOSMA pula dipinda.

Kecelaruan jenaka ini berterusan sehingga pemandu mabuk pula dibela atas alasan kadar mabuk tidak mencapai tahap membahayakan.

Hakikatnya, kebimbangan rakyat kepada corak kelakuan begini lebih meresahkan berbanding corona virus COVID-19.

Akhirnya jika kapal kerajaan baharu karam, ia bukan salah rakyat.

Mereka sebelum ini telah menaruh harapan baru kepada pihak pemimpin tetapi pemimpin gagal menerajui pilihan dan menghasilkan perubahan . 

Pimpinan perlu memberi suatu keyakinan jelas pada  rakyat akan kapal mana yang perlu mereka pilih untuk berlayar pada penggal akan datang.
LihatTutupKomentar
Cancel