Persekutuan Persatuan Cina pertahankan Ketua Masyarakat sokong kerajaan negeri


KUCHING, 17 Feb: Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian mempertahankan tindakan ketua masyarakat Cina yang memberi sokongan kepada polisi kerajaan negeri.

Presidennya, Dato Richard Wee berkata ini berikutan baharu-baharu ini terdapat parti politik yang mula mengkritik ketua masyarakat terbabit kerana sokongan mereka terhadap polisi kerajaan Sarawak.

"Mereka malahan mempersoalkan samada mereka (ketua masyarakat Cina) ada mandat dari ahli (persatuan kaum Cina) bagi melakukannya. Saya ingin menekankan yang semua ketua masyarakat kita telah pun dipilih secara sepatutnya bagi jawatan mereka," katanya ketika Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Makan Malan Ulangtahun Ke-41 Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini, malam tadi.

Majlis terbabit juga dihadiri tetamu kehormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Sri Dr Sim Kui Hian.

Richard Wee sehubungan itu yakin yang ketua masyarakat terbabit mempunyai kebijaksanaan dan kepintaran untuk menilai perasaan dan pemikiran semua ahli sebelum meluahkan pandangan mereka.

" Lagipun, sekiranya mereka (ketua masyarakat Cina) memilih untuk melawan kehendak ahli, mereka akan terpaksa bersemuka dengan ahli dan menerima akibatnya dalam persatuan masing-masing,"katanya.

Beliau berkata itu adalah proses demokratik mudah diamalkan dimana sahaja dan berharap semua parti politik dari semua bahagian untuk lebih berfikiran terbuka dan mahu mendengar kepada suara rakyat bagi mengatasi kekurangan sendiri dan bukannya menembak pembawa pesanan.

Wee juga menegaskan pertubuhan terbabit akan terus mengekalkan pendiriannya iaitu akan sentiasa mengambil berat mengenai politik dan pembangunannya tetapi mereka juga akan sentiasa tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

"Kami akan sentiasa menyokong polisi yang baik kepada rakyat dan polisi yang bermanfaat kepada Sarawak. Namun kami tidak akan teragak-agak meluahkan pandangan kami terhadap polisi tidak sihat dan tidak konsisten yang merosakkan masyarakat kami,"katanya.

Beliau juga menyeru semua anak Sarawak untuk bersatu bersama memperjuangkan kepentingan Sarawak kerana menjadi tugas asas sebagai anak Sarawak untuk mempertahankan hak Sarawak.
tamat

keterangan gambar: 
1. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ( lima dari kanan) dan Datuk Richard Wee ( enam dari kiri) bersama tetamu kehormat lain memotong kek di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Makan Malam Ulangtahun Ke-41 Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini, malam tadi.
LihatTutupKomentar
Cancel