Pejabat KM Sarawak nafikan laporan portal BH Online

KUCHING: Ketua Menteri selaku pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak pernah memutuskan perjanjian dengan mana-mana pihak di Semenanjung Malaysia.

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan menjelaskan satu-satunya kebimbangan GPS adalah untuk mempastikan kerajaan persekutuan stabil demi kepentingan negara.

Kenyataan tersebut menegaskan, kenyataan Parti Sarawak Bersatu (PSB) bahawa Abang Johari telah pergi ke Kuala Lumpur cuba memutuskan perjanjian khususnya dengan Umno dan PAS susulan desas-desus pembentukan kerajaan baharu, adalah tidak benar.

“Ini hanya spekulasi oleh PSB. Ketua Menteri tidak memutuskan perjanjian dengan mana-mana pihak di Semenanjung,” katanya hari ini.

Kenyataan itu turut menafikan gambar Abang Johari bersama pemimpin-pemimpin PAS termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah semasa beliau berada di Kuala Lumpur.

Ia menjelaskan gambar itu diambil di Kuching semasa Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Abdul Hadi dan para pemimpin Pas terbabit.

Pada masa sama, Pejabat Ketua Menteri turut menafikan laporan sebuah akhbar nasional yang mendakwa GPS meminta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najin Razak sebagai orang tengah bagi membincangkan mengenai gabungan untuk membentuk kerajaan.

“Sebagai portal berita perdana, Berita Harian sepatutnya menyemak kesahihan sumber berita terdahulu. Ini merupakan satu lagi spekulasi. Tiada pertemuan akan berlaku,” katanya.

Dalam laporan portal tersebut semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bergegas meninggalkan perjumpaan Ahli Parlimen Pas dan BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dipercayai untuk bertemu dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sebuah lokasi lain di ibu negara.

Portal tersebut melaporkan, sumber turut menyebut, pimpinan kedua-dua parti sedang merangka akuan bersumpah sebagai tanda bersetuju membentuk gabungan kerajaan baharu dalam waktu terdekat.

“GPS minta untuk bincang dan mereka mahu berbincang dengan Datuk Seri Najib.

“Tunggulah esok jam 10 pagi. Kalau selesai semuanya, kerajaan baharu akan dibentuk. Sekarang terlalu banyak spekulasi,” kata laporan Berita Harian,

Sementara itu, Najib ketika ditemui media enggan mengulas lanjut mengenai perjumpaan di PWTC. “Saya tak boleh komen,” katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel