Pengarah hospital maut angkara Covid-19


BEIJING: Pengarah sebuah hospital di Wuhan, Hubei, meninggal dunia akibat koronavirus baharu (Covid-19).

CCTV melaporkan bahawa Liu Zhiming, menjadi antara kakitangan perubatan di China yang menjadi mangsa wabak berkenaan.

Berdasarkan laporan, lelaki itu meninggal dunia pada pagi hari ini, selepas pelbagai usaha menyelamat dilakukan.

Awalnya, berita kematian Liu dilaporkan oleh media dan blogger China.

Bagaimanapun, laporan itu tiba-tiba digantikan dengan berita bahawa doktor masih berusaha menyelamatkan individu berkenaan.

Ia kemudian disusuli dengan pengesahan kematian Liu.

Kematian Liu mengimbas semula insiden seorang doktor, Li Wenliang, yang sebelum ini dihukum oleh pihak berkuasa di China selepas memberi amaran berhubung Covid-19.

Kematian Li yang juga pakar optalmologi itu mencetuskan kesedihan dan kemarahan orang ramai terhadap krisis berkenaan

Li adalah antara lapan doktor yang dihukum oleh polis di Wuhan kerana membincangkan secara terbuka virus seakan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) itu di media sosial, Disember lalu.

Dalam pada itu, tanda pagar di media sosial berhubung kematian Liu sudah mencecah 29 juta tontonan.

Setakat semalam, virus itu sudah menyebabkan hampir 1,900 kematian di China dengan lebih 72,000 kes jangkitan.
LihatTutupKomentar
Cancel