Peralihan kuasa : Untuk survival individu atau negara?
Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias
Peribahasa Melayu ada menyebut seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke 14, bekas Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan beliau dihubungi oleh pelbagai pihak yang bimbang terhadap kredibiliti pemerintahan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beberapa strategi telah digariskan oleh Dr Mahathir sebelumnya telah di tamatkan seperti pembatalan jambatan bengkok Johor- Singapura, penjualan syarikat MV Agusta oleh Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kemudiannya penjualan Proton kepada Geely dari China pada zaman Najib.
Mengambil kira keadaan pada ketika itu, Dr Mahathir mengambil pendekatan untuk menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yaasin.( yang di pecat ekoran komen berkaitan kes skandal SRC dan 1MDB).
Dalam merangka strategi untuk melawan parti politik yang terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan juga gabungan parti komponen dalam Barisan Nasional, tugas itu dianggap sukar dan mustahil.
Menggunakan pengalaman lalu dan kebijaksanaan Dr Mahathir mencatur langkah “ game plan” menggunakan rentetan peristiwa peristiwa yang melanda negara, kebencian rakyat terhadap Najib semakin mula membuak-buak.
Kebencian itu disemarakkan lagi oleh susunan serangan tentera siber dipercayai dibiayai oleh parti politik pembangkang tetapi tidak diketahui dari mana sumbernya yang berterusan menyerang pucuk pimpinan parti kerajaan Barisan Nasional khususnya melalui media sosial.
Contohnya isu harga barang, cukai GST, harga petroleum dan skandal 1MDB, malah rakyat turut marah dengan kenyataan demi kenyataan barisan menteri di bawah Najib yang dilihat rakyat sebagai mempersendakan , lemah dan kurang bijak.
Ajaibnya, ketiga-tiga parti pembangkang termasuk parti yang dilabelkan sebagai cauvanis China iaitu DAP sanggup duduk semeja bersama Mahathir dan berunding untuk bersama-sama menumbangkan Najib.
Mereka merangka manifesto yang berteraskan menjaga kebajikan rakyat menangani kos sara hidup dan kebebasan bersuara sekaligus menghapuskan kronisma Najib.
Setelah hampir dua tahun berakhir PRU yang memberi kemenangan besar kepada Pakatan Harapan yang di terajui Mahathir, isu kenaikan harga barang masih menghantui rakyat, janji menambahkan peluang kerja kepada generasi muda tidak ditepati bahkan dilanggar dengan kenyataan tiada pengambilan baru kakitangan awam.
Alasannya demi penjimatan kerana menanggung hutang kerajaan terdahulu.
Beberapa kontrak besar berkaitan pembinaan ECRL asalnya nak dibatalkan tetapi bertukar kepada kajian semula, perjanjian baru yang kononnya nak menjimatkan duit tapi sebenarnya lagi banyak kerugian ditanggung negara.
Desas desus mengatakan kontrak-kontrak perolehan kerajaan lama banyak dibatalkan dan diganti dengan pemberian kontrak kepada syarikat baharu yang pro parti seperti pembekalan buku teks.
Perpindahan teknologi pembinaan kapal perang dari China juga tidak menjadi yang sebahagiannya dibuat di pelabuhan Wuhan, China dan selebihnya di Malaysia.
Bagaimanapun akhirnya semua teknologi itu dibuat di China yang menyebabkan Malaysia rugi dari sudut kepakaran.
Dari segi politik, parti DAP yang memiliki kerusi terbanyak di Parlimen telah membuka kembali almari lama lalu membawa keluar fail agenda parti untuk dilaksanakan serta mengenepikan perasaan parti komponen Pakatan Harapan dalam melaksanakan perkara tersebut.
Contohnya kenyataan media Menteri Kewangan ditulis dalam bahasa Mandarin sehingga mencetuskan kontroversi kerana ia mengenepikan dasar bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan.
Kementerian Kewangan juga secara sendirian meminda agihan peruntukan pendidikan secara purata sama banyak kepada sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular sedangkan nisbah sekolah kebangsaan jauh lebih banyak.
Di atas kertas ia kelihatan adil walhal agihan wang kepada sekolah kebangsaan semakin menipis manakala sekolah vernakular menikmati limpahan kewangan lebih banyak kerana jumlah sekolah yang sedikit.
Dalam bab ketenteraman awam, tindakan agihan buku komik yang mengagungkan perjuangan komunis berlaku dan diedarkan ke sekolah-sekolah malah usaha berkenaan turut mendapat sokongan beberapa pemimpin DAP.
Usaha ini di banteras Kementerian Dalam Negeri tetapi tiada tindakan mengheret si pelaku ke mahkamah.
Kelihatan juga satu perancangan halus untuk mempersendakan Menteri Pendidikan yang mulai popular dengan pengenalan kebenaran memakai kasut hitam untuk pelajar sekolah, membatalkan kontrak syarikat telekomunikasi yang gagal memberikan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi, usaha ini semakin teratur dengan isu tulisan Jawi dalam buku teks sekolah vernakular.
Menteri Pendidikan itu digambarkan seolah-olah cuba menghakis silibus pembelajaran sekolah vernalular sehinggalah beliau didesak letak jawatan.
Dalam pada itu, perhimpunan mengingati perjuangan komunis diadakan di sebuah kolej swasta milik Pertubuhan Dong Zong di Kajang.
Walaupun ratusan laporan polis dan bantahan oleh pelbagai lapisan rakyat dibuat tetapi tiada tangkapan, begitu juga apabila Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan pergerakan LTTE dengan rampasan senjata api dan bahan letupan dan didapati membabitkan pemimpin atasan DAP.
Secara ajaibnya, semua ahli LTTE diberi ikat jamin, malahan kerajaan bercadang pula untuk meminda Akta SOSMA.
Rentetan perkara ini menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan veteran perang dan anggota keselamatan negara.
Orang Melayu yang diwakili parti komponen kerajaan seperti PPBM dan Parti Amanah Negara serta parti pembangkang seperti UMNO dan PAS bersatu hati menentang perkara itu yang mengguris hati mereka.
Rentetan lain peristiwa besar seperti rusuhan di kuil dan kematian anggota bomba menyemarakkan lagi kemarahan rakyat khususnya orang Melayu kerana semua suspek dibebaskan.
Kebimbangan kerajaan sekarang tidak mampu melindungi kepentingan melayu sehingga mencetuskan idea perlunya gabungan baru kerajaan. Ini kerana DAP dilihat melaksanakan agenda asal parti mereka sahaja dan bukan agenda rakyat keseluruhan
Dalam bab Anwar Ibrahim, PKR asalnya ditubuhkan untuk menbebaskan Anwar daripada penjara. Parti ini mencapai populariti dan menguasai negeri selangor.
Ia diurus tadbir dengan baik, memberi subsidi air dan elektrik yang disukai rakyat Selangor, apabila kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan pada PRU ke 14, Dr Mahathir membantu menebus sejarah silam dengan Anwar sehingga beliau diampunkan YDP Agong sepenuhnya.
Secara asasnya agenda penubuhan PKR telah tercapai, Dr Mahathir juga berjanji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.
Minggu ini desas desus mengenai peralihan kuasa bertiup kencang, bagaimanapun penganalisis politik semua faham Mahathir sentiasa ada perancangannya sendiri
Timbul juga pertanyaan akan sikap Dr Mahathir yang berdiam diri dengan tindakan pucuk pimpian DAP sebenarnya bertujuan supaya rakyat melihat dan menilai sendiri tindakan DAP, seperti kata Napoleon Bonaparte” Never Interupt your enemy When they are Making A Mistake.”
Dua tahun sebelum PRU, DAP telah pun dijenamakan bersama PKR menentang isu keadilan rakyat seperti kes kematian tahanan dalam lokap, kebebasan bersuara dan rasuah.
Bagaimanapun, isu rakyat yang diperjuangkan sebelum ini kelihatan lenyap malah mereka lebih fokus kepada survival parti dan kedudukan masing-masing.
Hampir setiap masa isu peralihan kuasa dibincangkan dan tekanan mula terasa menjelang Parlimen yang bakal diadakan sebulan nanti.
Ketika ini semua mata tertumpu kepada tindakan Dr Mahathir, adakah dia akan mengambil langkah berani demi survival diri atau negara?
Apa yang penting setiap keputusan Perdana Menteri ke 4 dan ke 7 itu akan memberi impak yang besar bukan sahaja untuk masa depan rakyat tetapi juga memberi kesan kepada ekonomi, politik dan sosial tanah air.