Perhentian bas guna Kontena



KUCHING, 25 Feb: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan membina perhentian bas besar dari kotak kontena supaya sesuai digunakan pelajar yang menaiki perkhidmatan bas sekolah percuma di bandar raya ini yang dijangka bermula April depan.

Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng berkata pihaknya mendapati perhentian bas sedia ada tidak cukup besar bagi menampung pelajar sekolah. 

"Satu bas sekolah boleh membawa sehingga 40 penumpang, sebab itu kami mencadangkan kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg), bagi majlis ini, kami akan menambahbaik (reka bentuk) perhentian bas sedia ada supaya boleh menampung lebih ramai penumpang,"katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh majlis MBKS di Bangunan MBKS, Padungan, di sini, hari ini,

Wee Hong Seng berkata MBKS telah dijemput oleh Yayasan Sarawak menghadiri satu perbincangan mengenai inisiatif perkhidmatan bas sekolah percuma yang dipengerusikan Ketua Menteri.

Sebelum ini, Ketua Menteri mengumumkan perkhidmatan bas sekolah percuma akan disediakan kerajaan negeri di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri bermula April ini dan memerlukan sebanyak RM4 juta bagi melaksanakan inisiatif itu.

"Setelah mencari, kami menjumpai ada banyak kontena terpakai dan memilih kontena bagi dijadikan perhentian bas dan satu sedang dibina sebagai unit pameran di Chung Hua Primary School No.3 dan dijangka siap minggu pertama Mac depan,"katanya.

Wee berkata sekiranya mendapat kelulusan Ketua Menteri, pihaknya akan mewujudkan sebanyak 12 lagi perhentian bas dari kontena itu di laluan lain sekitar bandar raya ini dengan setiap satunya akan menelan kos pembinaan sebanyak RM20,000.

"Sudah tentu, keselamatan menjadi keutamaan kami. Saya fikir mungkin kita memasang (kamera litar tertutup juga) di semua perhentian bas kontena itu nanti bagi memastikan keselamatan pelajar menunggu dan menaiki bas sekolah percuma itu,"katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalukan syarikat atau badan korporat di bandar raya ini untuk menaja pembinaan perhentian bas kontena terbabit dan nama syarikat yang menaja akan dipamerkan pada perhentian bas itu.

Selain itu, Wee juga mendedahkan pada mesyuarat itu MBKS dan polis sudah mengenalpasti sebanyak 20 kawasan yang akan dipasang cctv di bandar raya ini oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di peringkat kerajaan pusat.

"Kami juga mencadangkan sebanyak 83 kawasan MBKS kepada Lembaga Multimedia Sarawak bagi dipasang cctv tambahan,"katanya.


Gambar: Dato Wee Hong Seng menunjukkan gambar reka bentuk perhentian bas besar diperbuat mengunakan kontena selepas mempengerusikan mesyuarat penuh majlis MBKS di Bangunan MBKS, Padungan, di sini, hari ini.


LihatTutupKomentar
Cancel