Perlembagaan Persekutuan menetapkan Sarawak boleh laksana cukai jualan, JC Fong

KUCHING: Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan untuk membolehkan badan perundangan Sarawak meluluskan undang-undang Cukai Jualan Negeri (SST). 

Penasihat Undang-Undang Sarawak Dato Sri JC Fong berkata, Perjanjian Malaysia 1963 telah memasukkan Artikel 95B (3) dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai langkah perlembagaan khas untuk menyediakan pendapatan yang mencukupi untuk Sabah dan Sarawak.

“Justeru SST yang dikenakan terhadap Petronas tidak menyalahi undang-undang dan tidak menyalahi Artikel 95B(3) Perlembagaan Persekutuan.”

“Artikel tersebut memberi kuasa kepada badan perundangan negeri untuk menggubal dan meluluskan undang-undang mengenakan cukai jualan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azahahari Kamal Ramli semalam, pada hari kedua dan terakhir pendengaran semakan kehakiman yang difailkan oleh  Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk membatalkan Notis Penilaian melibatkan kira-kira RM1.3 bilion dalam SST.

Fong berkata, Suruhanjaya Cobbold mencadangkan walaupun kuasa kewangan dan cukai keseluruhan harus terus diberi hak kepada Kerajaan Persekutuan, negeri-negeri Borneo sepatutnya mempunyai kuasa untuk mengenakan SST.

Cadangan ini, katanya, diterima oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), yang dibentuk untuk melaksanakan pengaturan perlembagaan, untuk melindungi kepentingan khusus Sabah dan Sarawak.

Fong berhujah bahawa sekiranya pada masa itu SST hanya dikenakan ke atas perkara-perkara dalam Senarai Negeri, seperti yang dipertikaikan oleh Petronas, itu bermakna cukai itu akan dikenakan ke atas sumber pendapatan yang sama yang ada pada hari pra-Malaysia .

"Sekiranya ada hasrat bahawa SST hanya boleh dikenakan ke atas perkara-perkara dalam senarai Negeri, ia akan dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 95B (3).

"Memandangkan Menteri Kewangan ketika itu Kerajaan Malaya, Tun Tan Swee Sin, adalah ahli IGC, dia menegaskan bahawa SST hanya dikenakan ke atas perkara-perkara di dalam Senarai Negeri jika  Kerajaan Persekutuan pada masa itu melindungi perkara-perkara tertakluk persekutuan daripada SST.

"Bagaimanapun, Tun Tan tidak merasakan perlu untuk melindungi isu subjek persekutuan daripada dikenakan SST," katanya.

Hujahnya, Senarai Negeri mentakrifkan kuasa atau bidang kuasa Sarawak dan Sabah, sementara Senarai Persekutuan menyatakan kuasa kerajaan Persekutuan.

Fong berkata, Ordinan Cukai Jualan Negeri (SST) 1998 diluluskan mengikut Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca perundangan negeri Sabah dan atau Sarawak boleh membuat undang-undang bagi mengenakan cukai jualan dan sebarang cukai jualan dikenakan oleh undang-undang negeri dalam negeri Sabah atau Sarawak hendaklah disifatkan sebagai antara perkara yang disebutkan dalam Senarai Negeri dan bukan dalam Senarai Persekutuan. 

Menurut artikel tersebut juga, apa-apa cukai jualan yang dikenakan oleh undang-undang negeri di negeri Sabah atau Sarawak hendaklah dianggap sebagai antara perkara-perkara yang disebutkan dalam Senarai Negeri dan bukan dalam Senarai Persekutuan.

Tegasnya, kuasa untuk mengenakan SST diberikan terutamanya melalui Artikel 95B(3) dan bukannya di bawah Artikel 74(2).

Sebarang sekatan atau syarat untuk mengenakan SST mesti hanya dinyatakan oleh 95B(3) dan apa-apa tafsiran daripada Artikel 95B(3) yang dilihat menghakis atau mengurangkan susunan perlembagaan ini mesti dielakkan, jelasnya.

“Penjualan produk petroleum tersebut mengambil tempat apabila ia diletakkan di atas kapal untuk tujuan penghantaran kepada pembeli di luar Sarawak.”

“Penjualan produk tersebut berlaku di Sarawak dan cukai dikenakan apabila produk dihantar ke titik eksport di Pelabuhan Bintulu dan Miri. Justeru, Petronas didakwa terlibat dalam penjualan produk petroleum dan tertakluk di bawah Seksyen 8 untuk pembayaran SST,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata Petronas terlibat dalam penjualan produk petroleum dan bertanggungjawab di bawah Seksyen 8 Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 untuk pembayaran SST.

"SST bukan cukai eksport. Ia adalah cukai jualan yang dikenakan ke atas penjualan produk petroleum di Sarawak. Penyerahan barang kepada orang di luar negeri hanya untuk mematuhi syarat penjualan yang berkaitan dengan penghantaran produk petroleum kepada pembeli, "katanya.

Dalam hal ini, walaupun sudah terdapat cukai dikenakan oleh kerajaan persekutuan terhadap petroleum, SST merupakan cukai berlainan yang dikenakan terhadap penjualan produk petroleum di Sarawak.

“SST merupakan liabiliti bagi setiap individu atau syarikat berdaftar yang boleh dikenakan cukai dan Petronas tidak boleh menafikan liabiliti itu,” kata Fong.

Hakim Azhahari Kamal Ramli menetapkan 13 Mac depan untuk memberikan keputusan kes tersebut.



LihatTutupKomentar
Cancel