Polis Sabah tahan lelaki Sarawak, rampas dadah RM743,280


KOTA KINABALU, 25 Feb -- Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Lintas, Kepayan di sini Sabtu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata dalam serbuan jam 9.25 pagi itu, pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM743,280.

“Bertindak atas maklumat kita telah menahan seorang lelaki berusia 47 tahun berasal dari Sibu, Sarawak, di kawasan lot parkir tingkat bawah kondominium berkenaan. Hasil pemeriksaan ke atas beg sandang yang dipakai suspek menemui satu bungkusan surat khabar mengandungi empat peket plastik berisi dadah jenis syabu dan anggaran berat keseluruhan 156 gram.

"Soal siasat kemudiannya terhadap suspek membawa kepada serbuan di sebuah bilik di kondominium berkenaan dan menemui pelbagai jenis dadah antaranya dadah jenis syabu seberat 1,624 gram, ketamin (2,662 gram), pil ecstacy (2,801 gram), dan pil erimin 5 (1,090 biji),” katanya kepada pemberita di  sini, hari ini.

 Beliau berkata semua barangan berkenaan ditemui dalam kotak logam yang disimpan dalam bilik kondominium berkenaan.
 
Zaini berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali melalui aplikasi telefon untuk diedar dalam pasaran tempatan.

"Suspek menyewa dua unit kondiminium dengan harga RM1,700 bagi setiap unit kondominium berkenaan sejak Julai lalu dan satu unit kondominium itu dijadikan sebagai tempat menyimpan dadah berkenaan,” tambahnya.

Beliau berkata suspek kini direman selama seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952, yang jika sabit kesalahan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel