Tengkorak dan tulang ditemui bersama picagari dan jarum
KUCHING: Dua picagari beserta jarum suntikan ditemui bersama tengkorak dan tulang manusia ditemui berselerak di dalam semak di Batu 11, Jalan FAC, Matang, di sini, pagi tadi.
Tengkorak dan tulang manusia yang tidak diketahui identiti terbabit ditemui seorang penternak ketika mencari rumput untuk makanan lembu peliharaannya pada jam 10.30 pagi.
Bersama-sama tulang tersebut, terdapat sehelai seluar dalam, tertulis perkataan WYXM, saiz tidak pasti, dan sehelai baju lengan pendek warna hitam, free saiz, yang tertera perkataan SIDMA Kolej Sarawak.
Hasil penemuan lanjut, jarak lebih kurang 20 meter daripada lokasi pertama, telah menjumpai seluar jeans warna biru, jenama LMS, saiz pinggang 30 inci, sepasang kasut sukan berwarna hitam, jenama Fashion saiz tujuh dan dijumpai dalam poket seluar hadapan sebelah kiri, terdapat cebisan kertas dipercayai wang kertas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, penternak itu memberitahu dia memang kerap datang ke kawasan tersebut untuk mencari rumput.
"Siasatan di tempat kejadian turut dibantu oleh pihak Forensik IPK dan Cawangan D9.
"Sekitar tempat kejadian dipenuhi semak samun dan tiada sebarang bangunan atau rumah berdekatan
"Hasil penemuan di tempat kejadian menjumpai satu tengkorak, beberapa batang gigi dan beberapa tulang manusia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan Team Forensik HUS diketuai oleh Dr. Sofina telah mengesahkan tulang tersebut adalah tulang manusia dewasa berdasarkan ciri-ciri saiz tulang dan saiz tengkorak.
"Pihak Forensik hospital tidak dapat mengesahkan tempoh tulang tersebut kerana bergantung dengan faktor cuaca dan keadaan sekitar tetapi dipercayai lebih dari tempoh satu bulan,"katanya.
Katanya,lain-lain penemuan di sekitar tempat kejadian ialah beg warna biru tua tertera logo UiTM, jaket jenama Hellyhansan, size S, dua picagari beserta sebatang jarum dijumpai pada jaket dan di dalam beg.
Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga siasatan serta analisa lebih lanjut dijalankan.