Raja berjiwa rakyat
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memang terkenal dengan sikap 'raja berjiwa rakyat'.
Sebelum ini, media pernah melaporkan sikap rendah diri dan prihatin baginda kepada rakyat jelata apabila sanggup mencemar duli berhenti di tepi jalan membantu mangsa kemalangan jalan raya.
Hari ini, sikap prihatin baginda sekali lagi terserlah apabila sudi menjamu hidangan ayam goreng KFC kira-kira 50 petugas media yang berkampung seawal jam 8 pagi hingga petang di dua pintu Istana Negara di Jalan Duta di sini.
Baginda seolah-olah faham dengan keletihan dan kelaparan para wartawan yang tidak boleh berganjak untuk pergi ke mana-mana termasuk makan dan minum kerana takut terlepas membuat liputan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sumbangan bungkusan makanan itu disampaikan Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.
Ternyata pemberian jamuan makanan itu melegakan petugas media yang rata-ratanya sudah lama menahan lapar.
Terdahulu, ketiga-tiga pemimpin itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi memaklumkan mengenai perkembangan politik semasa.
Dr Mahathir yang tiba pada jam 4.40 petang tadi dengan Proton Perdana masih berada dalam istana bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Kredit pix NST group