Rakyat Contohi Agong Santuni Media


Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Dua hari lalu, negara menyaksikan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang juga seorang ketua negara merangkap pemerintah tertinggi angkatan tentera membawa makanan segera McDonald untuk diserahkan sendiri ke tangan petugas media.

Sehari sebelum itu, YDPA menyantuni petugas media dengan makanan segera KFC ketika mereka berhimpun dalam panas terik di luar pintu dua Istana Negara.

Baginda adalah 'field marshall' tetapi dalam keadaan ini tiada satu pun kereta kebal kelihatan berada di Istana Negara atau mana-mana lokasi.

Amat berbeza dengan situasi yang berlaku di Thailand apabila kemelut politik melanda seperti ini, di mana tentera dan kereta kebal ditempatkan di kawasan strategik.

Sebaliknya, YDPA menggunakan kebijaksanaan 'diplomasi KFC dan McD' dalam mengawal situasi secara berhemah.

Secara tersirat menunjukkan betapa tingginya luhur budi pekerti seorang Raja Melayu tentang pengorbanan dan kesusahan petugas media menunggu perkhabaran hala tuju negara dari Istana Negara.

Situasi yang kali pertama berlaku dalam sejarah Perlembagaan Malaysia, memperlihat Institusi Di Raja adalah benteng dan penyelamat terakhir membuat kata putus pemilihan Perdana Menteri dalam menghadapi pertelagahan sesama sendiri Ahli Parlimen.

Baginda pula sanggup mencemar duli, membelakangkan protokol turun dari kenderaan yang dipandunya sendiri diiringi pegawai Istana yang membawa makanan segera McDonald.

Keprihatinan baginda memperlihatkan sikap mulia seorang ketua negara.

Rata-rata petugas media terkejut dan gembira, dengan laungan Daulat Tuanku berulang kali tatkala baginda memberikan kenyataan yang tidak disangka-sangka terus daripada mulut baginda iaitu berita yang ditunggu-tunggu.

Berkali-kali baginda berpesan bersabarlah, ini untuk semua sambil menghulurkan bingkisan.

Selepas peristiwa itu, beberapa wakil rakyat pula mula mencontohi kepimpinan baginda, menyantuni pengamal media yang bertugas di lokasi masing-masing seperti Pejabat Perdana Menteri dan kediaman Ahli Parlimen.

Malah pengamal media dirai oleh pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, telekomunikasi yang turut memberi sumbangan selain makanan seperti 'power bank' dan payung.

Kata petugas media mereka tidak pernah dilayan seperti itu oleh Agong serta pemimpin dan amat berterima kasih terhadap keprihatinan semua pihak.

Sebelum ini sesetengah orang politik menuduh penyebar berita palsu, menimbulkan kebimbangan awam, dihina sebagai penyibuk apabila sesuatu laporan itu tidak mengikut kehendak dan telunjuk mereka.

Mereka beranggapan media perlu menulis perkara yang muluk dan indah sahaja berkaitan agenda mereka.

Bagaimanapun, YDPA memperlihatkan kepada umum pengamal media bukanlah golongan yang bila perlu sahaja dicari dan dipuja, tetapi sentiasa penting sebagai watchdog negara biarpun dalam situasi yang gusar dan kelam kabut dalam negara.


LihatTutupKomentar
Cancel