SK Pulo dan SMK Tun Abang Haji Openg sekolah pintar

KUCHING, 13 Feb: Sekolah Kebangsaan (SK) Pulo dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg dalam kawasan projek pembangunan Darul Hana di Petra Jaya bakal dijadikan dua sekolah pintar perintis bagi Sarawak.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata konsep sekolah pintar itu seperti di Singapura dimana guru dan pelajarnya mengunakan i-pad dalam pengajaran dan pembelajaran bilik darjah.

"Hinggakan pelajarnya boleh belajar dengan rakan sekelas mengunakan i-pad di rumah sekiranya tidak dapat ke sekolah kerana tidak sihat. Perhubungan antara guru dan pelajar sekolah ini juga sepenuhnya mengunakan teknologi maklumat (IT),"katanya selepas merasmikan kemudahan permurnian Al-Quran di Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahudin, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Kemudahan relau pembakaran terbabit bagi melupuskan Al-Quran lama atau bahan cetakan lama  yang ada ayat Al-Quran dengan masjid sekitar bandar raya ini boleh mengunakan kemudahan itu dengan bayaran RM20 bagi lima kilogram pertama dan RM2 bagi setiap kilogram seterusnya.  

Dr Abdul Rahman berkata ini akan memerlukan bangunan bilik darjah SK Pulo yang akan dipindahkan ke tapak baharu seluas 5 ekar di projek pembangunan Darul Hana dan juga SMK Tun Abang Haji Openg dilengkapi teknologi sekolah pintar termasuk liputan internet 5G. 

Beliau tidak memberikan tempoh masa bagi kedua sekolah dijadikan sekolah pintar perintis bagi Sarawak tetapi Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan pemaju kawasan pembangunan Darul Hana sudah bersetuju mengenainya perpindahan SK Pulo ke tapak baharu.

"Malahan keseluruhan kawasan projek pembangunan Darul Hana ini selepas ini akan dijadikan penempatan pintar dengan Masjid Darul Hana ini juga masjid pintar yang ada liputan internet 5G dan jemaahnya boleh mengunakan i-pad bagi aktiviti keagamaan,"katanya.

Selain itu, Dr Rahman berkata penduduk Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Pulo Ulu dan Kampung Semarang di Seberang Hilir dijangka berpindah ke projek perumahan Darul Hana pada suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata perpindahan Fasa Pertama itu akan membabitkan sebanyak 573 unit rumah yang sudah siap di tapak projek terbabit yang keseluruhannya akan memindahkan penduduk 12 kampung di kawasan Seberang Hilir dalam tempoh 10 hingga 20 tahun.



keterangan gambar:

1. Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada sidang media merasmikan kemudahan permurnian Al-Quran di Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahudin, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Kemudahan relau pembakaran terbabit bagi melupuskan Al-Quran lama atau bahan cetakan lama  yang ada ayat Al-Quran di  Masjid Darul Hana.

Projek perumahan Darul Hana.
LihatTutupKomentar
Cancel