SST tidak boleh dikenakan terhadap petroleum - Malik
KUCHING, 3 Feb -- Sarawak tidak boleh mengambil pendekatan kuasa penuh tanpa syarat dalam mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) yang dianggap oleh kerajaan negeri sebagai sesuai, demikian Mahkamah Tinggi dimaklumkan hari ini.
Peguam utama mewakili Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Datuk Malik Imtiaz Sarwar berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan membenarkan negeri-negeri untuk mengenakan cukai tetapi kuasa untuk berbuat demikian adalah dengan sekatan tertentu.
”Kuasa untuk mengenakan cukai jualan sangat sempit dan terbatas dan tertakluk kepada sekatan tertentu yang termaktub dalam perlembagaan Persekutuan...mereka (kerajaan negeri) tidak mempunyai lesen untuk mengenakan cukai jualan dengan pendekatan kuasa penuh tanpa syarat,” katanya kepada pemberita selepas melengkapkan hujahan di hadapan Hakim Azahari Kamal Ramli.
Petronas memohon semakan kehakiman untuk membatalkan Notis Penilaian membabitkan kira-kira RM1.3 bilion dalam SST kepada syarikat tersebut.
Permohonan tersebut, antara lain, menuntut SST yang dikenakan oleh kerajaan negeri Sarawak menerusi Pengawal SST melanggar Perlembagaan Persekutuan dan disytiharkan batal dan tidak sah.
Syarikat petroleum nasional itu juga menuntut pengisytiharan seksyen tertentu dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1988 sebagai ‘ultra vires’ kepada Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun mengakui hak kerajaan negeri Sarawak untuk mengenakan SST, Malik berkata beberapa bahagian dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1998 adalah tidak berperlembagaan dan dengan itu, tidak sah.
Beliau berkata kuasa untuk mengenakan SST hanya berkenaan dengan perkara-perkara yang terdapat dalam senarai Negeri berkaitan Sabah dan Sarawak manakala isu minyak dan petroleum adalah termasuk dalam senarai Persekutuan.
“Kami berhujah bahawa aturan perlembagaan tidak menyokong cukai berganda kerana sudah terdapat cukai dikenakan oleh kerajaan Persekutuan terhadap petroleum,” katanya.
Beliau berkata Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1998 bukan hanya meliputi cukai jualan tetapi juga cukai eksais import dan eksport.
Perbicaraan diteruskan esok dengan mendengar penghujahan daripada pihak kerajaan negeri menerusi penasihat undang-undangnya, Datuk Seri JC Fong.
-- Bernama