Syarikat penerbangan global rugi US$29.3 bilion akibat COVID-19



KUALA LUMPUR, 21 Feb -- 2020 akan menjadi tahun yang sangat mencabar bagi industri  penerbangan global berikutan syarikat penerbangan dijangka kehilangan US$29.3 bilion (US$1= RM 4.187) daripada perolehan penumpang akibat penularan COVID-19.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Alexandre de Juniac berkata persatuan itu menjangkakan trafik global akan berkurangan 4.7 peratus akibat jangkitan itu, yang boleh mengimbangi unjuran pertumbuhan terdahulu dan menyebabkan penyusutan keseluruhan permintaan yang pertama kali berlaku, sejak krisis kewangan global 2008-2009.

“Syarikat penerbangan membuat keputusan sukar untuk mengurangkan kapasiti dan beberapa laluan. Kos bahan api yang lebih rendah akan membantu mengimbangi sebahagian kerugian dalam perolehan. Ia merupakan tahun yang sangat mencabar bagi syarikat penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.


Menurut IATA, penularan COVID-19 dijangka menyebabkan permintaan penumpang syarikat penerbangan merosot 13 peratus bagi tahun penuh di rantau Asia Pasifik, dengan syarikat penerbangan di rantau ini mengalami kerugian perolehan US$27.8 bilion pada 2020.

Merujuk kepada penilaian awalnya akibat penularan COVID-19, IATA berkata dengan mengambil kira unjuran pertumbuhan syarikat penerbangan di rantau ini pada 4.8 peratus, impak bersih akan menyusut 8.2 peratus bagi tahun penuh berbanding paras permintaan pada 2019.

“Dalam senario ini, ia mengakibatkan syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik mencatat kerugian hasil sebanyak US$27.8 bilion bagi 2020 -- sebahagian besarnya ditanggung oleh syarikat penerbangan berdaftar di China dengan kerugian US$12.8 bilion bagi pasaran domestik China sahaja,” katanya.

-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel