92 peratus masyarakat Sarawak patuhi PKP
KUCHING: Sarawak mencatatkan kira-kira 92 peratus pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan pengurangan jumlah orang awam dan bilangan kenderaan yang keluar setakat ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berharap masyarakat di negeri ini
terus memberikan kerjasama dalam usaha untuk menghentikan rangkaian jangkitan COVID-19.
"Penguatkuasaan akan diperketatkan sejajar dengan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaannya sehingga 14 April depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menjelas lanjut,katanya,pihaknya
akur dengan keputusan yang telah diumumkan kerajaan dan akan meneruskan tugas-tugas penguatkuasaan PKP ini dengan lebih ketat lagi.
“Kita berharap supaya masyarakat faham akan matlamat kerajaan dan terus mematuhi perintah kawalan ini sepenuhnya," katanya,
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April berikutan kes-kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku.