Geng Adik, Geng Satria tumpas di Kluang

KLUANG, 10 Mac -- Dua kumpulan berasingan yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah, curi kenderaan dan samun kedai, dikenali sebagai ‘Geng Adik’ dan ‘Geng Satria’ tumpas, dengan penahanan enam suspek dipercayai ahli kepada dua kumpulan berkenaan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata, tiga lelaki dipercayai “Geng Adik” ditahan berasingan pada Ahad (8 Mac) dan semalam di Taman Sri Kluang, Taman Kluang Barat dan Kampung Bentong Dalam, di sini.

Turut dirampas tiga buah motosikal jenis SYM dan masing-masing sebuah motosikal Yamaha 125Z, kereta Proton Wira, serta kereta Perodua Viva yang dianggarkan bernilai RM20,000.

“Hasil siasatan terhadap tiga suspek yang berusia antara 24 hingga 54 tahun itu, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah, selain didapati positif dadah jenis morfin.

“Dengan tangkapan ini, polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes membabitkan lima kes curi kenderaan dan dua kes pecah rumah, di sekitar daerah ini. Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
 
Dalam pada itu, Mohd Abduh berkata tiga lelaki dipercayai “Geng Satria” yang aktif menjalankan kegiatan samun, membabitkan pusat urut selain curi kenderaan di sini, ditahan secara berasingan di dua buah rumah, dekat bandar Kluang, pada 24 dan 26 Feb lepas.

Mereka yang berusia antara 28 hingga 31 tahun itu, turut mempunyai beberapa rekod kes yang sama di negeri Selangor, selain dua daripadanya merupakan Orang Pengawasan Polis di bawah POCA.

“Pelbagai barangan dipercayai hasil samun dirampas antaranya ialah sebuah kereta Proton Perdana, pelbagai komponen motokar, barang kemas, telefon bimbit, perakam CCTV serta sebuah kereta Proton Satria, yang dipercayai digunakan dalam aktiviti menyamun dan mencuri,” katanya. 

Dengan tertangkapnya mereka, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes dan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 379A Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek masih dalam tahanan reman sehingga 12 Mac.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel