Kerja keras untuk pembangunan Sarawak


KUCHING: Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap  Menteri dan Timbalan Menteri bekerja keras untuk memastikan pembangunan Sarawak dapat dikembangkan dan dapat sama taraf dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Pemuda GPS dalam kenyataan bersama berkata, hak-hak Sarawak mesti dijaga dan dipulangkan seperti yang termaktub di dalam MA63, kerana itulah salah satu dari perjuangan GPS selama ini.

Menurutnya, pemuda GPS bersama dengan Perdana Menteri dalam hasrat dan harapan beliau untuk memfokus kepentingan  perpaduan, pendidikan, hubungan dan hak Sabah dan Sarawak dan seterusnya mengembalikan kegemilangan negara.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri kerana mengiktiraf peranan dan sokongan GPS kepada kepimpinan beliau.

"Kabinet ini dibentuk mengambil kira kepimpinan, pengalaman dan inklusif bagi memastikan perkembangan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia

"Ini juga selaras dengan pendirian YAB Datuk Patinggi Abang Jo dan kepimpinan GPS untuk mementingkan masa hadapan negara.

"Walau bagaimanapun,  kita mesti memberi tumpuan kepada keadaan dan cabaran dunia seperti COVID-19, kemerosotan ekonomi dunia dan nilai harga mata wang kita.  Ini perlu ditangani supaya negara kita tidak terus merosot dan menyusahkan rakyat," katanya.

Kenyataan bersama oleh Ketua Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu, Ketua Pemuda  PRS Datuk Snowdan Lawan, 
Ketua Pemuda SUPP Michael Tiang dan Ketua Pemuda PDP Robert Ayu.

Beliau berkata, pemuda GPS  juga yakin di atas komitmen Timbalan Menteri yang bukan dari GPS,  iaitu Ali Biju dan Willie Monggin untuk mengutamakan perjuangan untuk Sarawak.

Menurutnya, semua rakyat Sarawak dan Malaysia memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri dan barisan Kabinet Malaysia demi untuk perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
LihatTutupKomentar
Cancel