Kemuka senarai pekerja ladang
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, maklumat pekerja ladang amat penting bagi pemantauan penularan COVID-19.
Sehubungan itu katanya, pekerja ladang akan dipantau terutama dari segi tahap kesihatan termasuk negara asal dan sejarah kesihatan.
"Kita mahu senarai pekerja yang bekerja di ladang seluruh negeri dari mana mereka datang, sejarah kesihatan mereka.
"Kita mahu membuat pemantauan terhadap mereka dengan menentukan langkah yang harus diambil," katanya pada sidang media sempena lawatan
Pemantauan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas Ladang dan Kilang Kelapa Sawit di Bau-Lundu hari ini.
Beliau menegaskan, semua ladang akan terus dipantau serta penutupan operasi dilakukan sekiranya berlaku kes positif COVID-19.
"Di Sabah ada tiga ladang ditutup kerana positif COVID-19. Kita bersedia berbuat demikian di Sarawak, sehubungan itu pekerja akan terus dipantau. Kes di Sarawak 70 peratus adalah kes import datang dari luar," ujarnya.
Uggah berkata, kerajaan melarang pekerja asing kembali ke negeri ini setelah balik ke negara asal mereka buat sementara waktu.