Pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat diumum Jumaat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh, susulan impak penularan COVID-19 di negara ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pegawai di Kementerian Kewangan ketika ini bekerja bertungkus-lumus menyediakan pakej berkenaan untuk memberikan manfaat kepada semua.

“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat.

“Insya-Allah, no one will be left behind (tiada yang akan dipinggirkan). Selain itu, saya berharap pusat pungutan zakat di setiap negeri memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu asnaf.

“Saya percaya mereka sedang menghadapi keadaan hidup yang agak lebih sukar pada masa ini, berilah bantuan kepada mereka.

“Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf, tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas pada masa ini, mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat,” katanya pada perutusan khas, hari ini.

Muhyiddin berkata sebagai Perdana Menteri beliau sedar bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat secara keseluruhan.

Beliau turut mendoakan petugas di barisan hadapan untuk terus cekal, meyifatkan situasi yang dihadapi mereka sekarang ini sebagai sesuatu yang bukannya mudah.

Menyentuh soal kebajikan petugas Kementerian Kesihatan, Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan kementerian itu memberikan sedikit masa untuk mereka mengambil cuti rehat secara berperingkat, sebelum kembali bertugas semula.

Bagi mengisi tugas mereka buat sementara waktu ini, katanya, tenaga sukarela dalam kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan sukarela akan digerakkan.
LihatTutupKomentar
Cancel